TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Ogos 2009

GAJI RM3,000 DIBANTU

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


Tan Sri Muhyiddin Yassin

40 peratus rakyat layak diberi bantuan tambah pendapatan: Muhyiddin

MUAR: Kerajaan akan membantu kira-kira 40 peratus rakyat negara ini yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan menambah pendapatan mereka, terutama di kawasan bandar yang berdepan kos sara hidup tinggi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata walaupun kelompok itu tidak tergolong sebagai penduduk miskin, tetapi pendapatan mereka di bawah RM3,000 itu perlu ditingkatkan lagi melalui pelbagai bidang, termasuk menyertai perniagaan kecil.

"Kita mahu usaha ditumpukan bagi menambahkan pendapatan, terutama mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan ini," katanya selepas melawat Bazar Ramadan Bukit Pasir di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, tumpuan itu juga selaras dengan langkah kerajaan mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membabitkan enam perkara utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Katanya, pendapatan penduduk luar bandar, terutama petani dan penternak juga perlu ditingkatkan dengan menyertai bidang pemprosesan dan perniagaan kecil.

"Sehubungan itu, kerajaan menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan lesen perniagaan dan jangan halang atau menyekat usaha peniaga kecil sama ada yang tinggal di bandar atau di luar bandar untuk menambah pendapatan mereka," katanya.

Katanya, kerajaan akan meningkatkan usaha memastikan masalah 44,000 penduduk miskin tegar dapat diselesaikan hujung tahun depan melalui usaha menambah pendapatan yang dijalankan itu.

Selain itu, katanya usaha turut membabitkan penyediaan kemudahan infrastruktur, memerangi jenayah dan rasuah serta pendidikan yang menjadi antara perkara pokok perlu ditingkatkan.

Mengenai pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi tempoh sama, beliau mahu 87 peratus kanak-kanak berusia lima dan enam tahun mendapat pendidikan prasekolah, meningkat 20 peratus berbanding 67 peratus ketika ini yang mendapat pendidikan prasekolah berikutan pertambahan kira-kira 800 bilik darjah dan guru terlatih.

Katanya, kementerian turut menggalakkan sektor swasta membuka pusat prasekolah dan sebagai galakan, beliau akan mengumumkan bentuk insentif dalam bentuk pengurangan cukai dan bantuan lain untuk melatih guru serta pinjaman membuka projek pusat sekolah berkenaan.

Muhyiddin juga berkata, pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri Tanpa Portfolio di Jabatan Perdana Menteri selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan lagi organisasinya supaya perkara yang ditetapkan dalam NKRA dan KPI dapat dilaksanakan.

"Kita mahu selewat-lewatnya pada 2012 ini, kita dapat menumpukan enam perkara pokok itu (NKRA) dan Idris dapat memperkukuhkan usaha ke arah itu yang turut menjadi ukuran kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa perubahan besar kepada negara," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 30 OGOS 2009

Tiada ulasan: