PENGUNJUNG SETIA

21 Ogos 2009

NIK AZIZ DIMINTA AKUI KESILAPAN

Oleh Junita Mat Rasid
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN mencuba demonstrasi berkaitan 'puting beliung' sambil diberi penerangan oleh kakitangan Astro, M Shamila (kanan) dan diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan (tengah) ketika melawat pameran Kampus Astro di Kompleks Sukan Pagoh, semalam.

Keputusan fatwa berdasar kajian: Muhyiddin

MUAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta mengakui kesilapannya selepas Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan kenyataannya bahawa ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak akan membawa ahli atau penyokongnya ke syurga, menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan jawatankuasa itu perlu diterima seluruh umat Islam kerana ia berdasarkan kajian sebelum diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dan tidak boleh dipertikaikan.

"Kenyataan itu bukan saja bercanggah dengan fatwa, malah undang-undang dan hukum syarak. Sepatutnya bila sudah buat salah, kita meminta maaf kepada Allah SWT kerana itu asas yang kita guna pakai apabila fatwa diputuskan," katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Bukit Kepong dan jamuan makan tengah hari, di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan jawatankuasa itu yang diumumkan Pengerusinya, Prof Dr Abdul Shukor Husin kelmarin bahawa kenyataan Nik Abdul Aziz adalah salah dan menyeleweng kerana pihaknya sudah memutuskan ketentuan sama ada seseorang Islam masuk syurga atau neraka hak mutlak Allah SWT sejak 2000 lagi.

Keputusan muzakarah itu kemudian diperkenankan Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya ke-188 pada 21 hingga 23 Mac 2001 lalu.

Muhyiddin berkata, sepatutnya semua pihak tidak mencampur aduk politik dengan hukum dan agama walaupun agama meliputi semua tetapi tidak boleh melakukan perkara yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

"Saya berharap pihak terbabit faham dan insaf mengenai perkara ini serta berhentilah (mengeluarkan kenyataan seperti itu).

"Perkara itu bukan pertama kali kerana sudah berulang kali sehingga fatwa terpaksa dikeluarkan. Jika berlaku seperti itu saya berharap jawatankuasa berkenan mengambil langkah sewajarnya supaya pihak berkenaan tidak melakukannya lagi," katanya.

Mengenai tindakan Nik Abdul Aziz menafikan mengeluarkan kenyataan berkenaan, Muhyiddin berkata, ia sering dilakukannya yang kemudian menyalahkan media selepas sesuatu isu timbul.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Nik Abdul Aziz memberikan pandangannya melalui kenyataan media bagi mengelak berlaku perkara seperti itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 21 OGOS 2009

Tiada ulasan: