TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Ogos 2009

7,000 PENGGUNA KOMUNIKASI TERJEJAS

Bakar sampah di tebing Sungai Muar punca kabel Ledang terbakar


MUAR: Hampir 7,000 pengguna Telekom Malaysia (TM) dan TM Net (Streamyx) di daerah Ledang terputus berikutan kebakaran kabel sepanjang kira-kira 35 meter di tepi Jambatan Sultan Ismail, dipercayai berpunca daripada api sampah di tebing Sungai Muar, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, 12 kabel termasuk kabel fiber optik yang terletak di laluan bersebelahan jambatan itu musnah terbakar, sekali gus menyebabkan talian telefon di beberapa kawasan di sekitar Tanjung Agas, Kesang, Parit Bunga, Pekan Rawang, Sungai Mati, Serom dan Bukit Gambir terputus.

Kebakaran itu menyebabkan kerugian lebih RM200,000 akibat kabel yang terbakar, manakala kerugian yang ditanggung oleh pengguna terutama di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas yang menggunakan perkhidmatan talian telefon dan internet, belum dapat ditafsirkan.

Jurucakap TM berkata, seramai 20 kakitangan dan pekerja syarikat kontraktor mula menjalankan operasi membaik pulih termasuk menukarkan kabel sejak jam 8 malam kelmarin dan kerja itu dijangka dapat dijalankan secara berperingkat dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya Sabtu ini.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah berjaya membaiki dua kabel fiber optik yang dapat membekalkan semula perkhidmatan internet di beberapa kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, manakala pengguna internet lain dijangka dapat menggunakan semula perkhidmatan itu dalam tempoh 24 jam.

Beliau berharap semua pengguna yang terbabit dalam gangguan talian telefon dan internet itu bekerjasama dengan pihaknya dan bersabar sementara perkhidmatan itu pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, dua jentera bomba dengan 14 anggota di hantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.24 malam.

Katanya, kebakaran kabel dan fiber yang menyebabkan asap tebal itu berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh kira-kira setengah jam dan punca kejadian serta jumlah kerugian kebakaran kabel itu masih dalam siasatan pihak TM.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 28 OGOS 2009

Tiada ulasan: