TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

25 Ogos 2009

LALUAN PINTAS ATASI NAHAS MAUT

Oleh Junita Mat Rashid
junita@bharian.com.my

Projek Jalan Lenga-Bukit Kepong beri keselesaan pengguna

LENGA: Ramai pengguna jalan raya dari Pekan Pagoh menghala ke Pekan Labis, akan merungut setiap kali melalui Lenga dan Bukit Kepong berikutan laluan itu yang sempit dan berbahaya terutama jika bertembung dengan bas atau lori.

Malah, satu cermin besar terpaksa diletakkan di persimpangan Pekan Lenga di tebing Sungai Muar bagi memudahkan pengguna berikutan laluan di tepi deretan kedai papan itu hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu masa.

Keresahan pengguna yang melalui jalan itu bakal berakhir apabila projek pembinaan Jalan Pintas Lenga-Bukit Kepong sepanjang kira-kira 2 kilometer bernilai RM8 juta dijangka akan dimulakan November ini.

Projek itu membabitkan pelebaran jalan 6.3 meter dengan bahu jalan sepanjang 2 meter di kiri dan kanan jalan, selain melebarkan persimpangan 600 meter serta memperbaharui permukaan jalan sedia ada 600 meter. Projek itu turut membabitkan pengambilan balik 59 lot tanah.

Turut melawat projek cadangan jalan pintas itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, dalam rangka lawatan seharinya ke beberapa lokasi di kawasan itu, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Taat, berkata projek jalan pintas yang menghubungkan Lenga ke Bukit Kepong itu sudah lama dinantikan oleh penduduk di kawasan itu berikutan laluan di Pekan Lenga yang sempit dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jalan lama yang sudah sekian lama menjadi penghubung antara Lenga dan Bukit Kepong, sudah tidak sesuai lagi dan perlu dinaik taraf.

"Jalan pintas itu bukan saja memberi kemudahan kepada penduduk Lenga dan Bukit Kepong, malah memberi kemudahan kepada pengguna dari Lebuh Raya Utara Selatan di Pagoh untuk ke pekan Labis atau Segamat," katanya.

Katanya, pembinaan jalan pintas meningkatkan nilai harta tanah di kawasan sekitarnya, sekali gus merancakkan lagi pembangunan.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 25 OGOS 2009

2 ulasan:

Faizal Zakaria's Blog berkata...

salam ziarah..






Klik Di Bawah :-
>>> Blog 1 Malaysia <<<

INFOLEDANG berkata...

terima kasih atas kunjungan..