PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2009

'YAKINKAN RAKYAT TERHADAP 1MALAYSIA'

MUAR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu peringkat akar umbi parti turut serta memikul tanggungjawab memberi penjelasan dan menterjemahkan gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, penyertaan mereka perlu bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap gagasan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

"Kita harus memberi penjelasan terperinci mengenai beberapa isu dan menterjemahkan harapan serta gagasan Presiden (Najib) kepada rakyat yang saya percaya ia mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno bahagian Muar, di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno bahagian Muar, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia yang juga Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada masa sama, semua peringkat dalam Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) juga harus bersedia memperjuangkan setiap perkara yang diharapkan rakyat.

"Kita harus memastikan apa yang rakyat harapkan diperjuangkan sehingga berjaya dan kita juga harus bersedia untuk berubah dan memperbaiki jika berlaku kelemahan dalam parti," katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, berdasarkan pemerhatiannya pada beberapa Umno bahagian, beliau mengakui segelintir ahli Umno peringkat akar umbi masih memerlukan suntikan semangat untuk memulihkan keyakinan mereka kepada parti selepas menerima ujian yang cukup hebat pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, ahli parti juga perlu diberi penjelasan terperinci mengenai beberapa isu yang berbangkit selepas pilihan raya umum lalu, supaya mereka tidak terus keliru sehingga memudahkan mereka dipengaruhi dakyah parti lawan.

Bagaimanapun, katanya, struktur Umno masih utuh, cuma memerlukan sedikit suntikan untuk memastikan benar-benar kukuh menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 OGOS 2009

Tiada ulasan: