PENGUNJUNG SETIA

07 Ogos 2009

PENGELUAR CADAR ANJUR PROMOSI JUALAN HABIS STOK

MUAR: Sempena Karnival Jualan Mega di seluruh negara, Oli Collection Snd Bhd, sebuah syarikat pengeluar cadar Bumiputera terbesar di negara ini menganjurkan promosi jualan termurah penghabisan stok, mulai hari ini hingga 9 0gos ini.


Lebih menarik, program bertempat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang itu akan mempromosikan pelbagai produk keluaran usahawan Bumiputera menawarkan potongan sehingga 80 peratus.

Pengarah Pemasaran Oli Collection, Rosli Ismail, berkata acara tahunan yang buat pertama kali diadakan di Pekan Bukit Gambir, Ledang itu, adalah salah satu aktiviti promosi dan pemasaran bagi membantu usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka.

Beliau berkata, sempena promosi itu, lebih 1,000 produk dan perkhidmatan keluaran usahawan kecil dan sederhana Bumiputera dipamerkan untuk pilihan pelanggan termasuk hiasan dalaman bilik tidur dan ruang tamu seperti set cadar, kusyen dan langsir.

"Turut dipamerkan ialah barangan kulit seperti beg tangan, dompet dan tali pinggang serta aksesori wanita berjenama Aura seperti gelang, rantai leher, cincin dan kerongsang.

"Aktiviti ini diharap merancakkan lagi acara Jualan Mega 2009 di seluruh negara di samping membantu usahawan tempatan meneroka pasaran baru," katanya, ketika ditemui di pejabat pemasaran syarikat itu, di Taman Seri Terap, di sini, semalam.

Rosli berkata, Oli Collection sebuah syarikat jualan langsung milik 100 peratus Bumiputera bermatlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang peruncitan.

Beliau berkata, kejayaan syarikat itu meningkatkan pemasaran produk usahawan Bumiputera mendapat perhatian pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) apabila Oli Collection dilantik sebagai mentor perniagaan dalam bidang hiasan dalaman di bawah Program Peruncitan Bumiputera sejak tiga tahun lalu.

Katanya, selain Mara, syarikatnya juga turut bertindak sebagai rakan niaga kepada Yayasan Tekun Nasional (Tekun).

"Semua usahawan dijemput menyertai program ini bagi membolehkan mereka meninjau peluang perniagaan yang bukan saja boleh menambah pendapatan tetapi menjana ekonomi bagi kepentingan masa depan.

"Mereka termasuk golongan belia sama ada yang mempunyai pekerjaan atau masih menganggur untuk mencari peluang ekonomi dengan menyertai bidang perniagaan," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 7 OGOS 2009

Tiada ulasan: