PENGUNJUNG SETIA

31 Ogos 2009

RUNTUHKAN TEMBOK KAUM


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cabaran terbesar rakyat Malaysia hari ini ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok- tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata masa yang berlalu telah menyaksikan jambatan yang dibina oleh pejuang-pejuang terdahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang menurutnya cuba menangguk di air keruh.

Katanya golongan ini telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.

Apa yang penting, kata Najib, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada.

"Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan," katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-52 yang disiarkan malam ini.

Najib turut berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

"Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda," katanya.

Najib berkata setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia dan yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan bekerja keras dan keberanian mengambil risiko.

Menyingkap kembali sejarah selepas merdeka, Najib berkata dengan pengalaman sendiri begitu singkat dan berlatarbelakangkan pemberontakan komunis yang belum reda, kewujudan ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas dan ditambah dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak pada ketika itu telah meramalkan bahawa Malaysia ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun, katanya, negara membuktikan bahawa ramalan itu adalah meleset sama sekali kerana dalam tempoh lima dekad merdeka, Malaysia telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju.

Malah, katanya, Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama, hanya dalam tempoh masa amat singkat, yakni dua generasi sahaja.

Menurut Perdana Menteri, formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini adalah tidak lain dan tidak bukan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan, "bukannya perkara titik- bengik yang menyebabkan perpecahan". Najib berkata sepanjang lebih 50 tahun ini, rakyat dan negara menempuhi pelbagai peristiwa, suka mahupun duka, tetapi semuanya dilalui dengan jayanya.

"Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya," katanya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, katanya, untuk menentukan hari esok yang lebih baik dari hari ini, pentadbirannya telah memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan.

"Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara," katanya.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menyuburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Hari Kebangsaan kali ke-52 yang jatuh esok disambut dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Beliau turut mengajak rakyat agar merealisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

"Marilah pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua," katanya. - BERNAMA

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 OGOS 2009

Tiada ulasan: