PENGUNJUNG SETIA

01 Ogos 2009

DISKAUN 30 PERATUS BAYAR 10 SAMAN

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

MUAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi pembayaran saman bagi 10 kesalahan, sempena Program Satu Komuniti Satu JPJ, yang diadakan selama tiga hari sehingga Ahad ini di Kompleks Sukan Pagoh.

Majlis penutup program itu dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, kira-kira jam 4 petang, Ahad ini.

Pengarah JPJ Johor, Mohd Rosli Ramli, antara kesalahan yang layak mendapat diskaun termasuk tidak pamer lesen P, lesen tamat tempoh, gagal kemukakan insurans, gagal kemuka lesen, cukai jalan tidak dipamer, gagal memberi maklumat mengenai pemandu lebih tempoh tujuh hari dan menghalang lalu lintas.

Katanya, turut mendapat diskaun ialah bagi kesalahan tidak mengemukakan perubahan maklumat kenderaan, tidak membuat tukar hak milik dalam tempoh tujuh hari dan membaiki atau membasuh kenderaan di garisan pejalan kaki awam.

"Diskaun saman JPJ itu hanya sah sepanjang tempoh tiga hari program berkenaan dan kami akan menyediakan kaunter khas bagi memudahkan orang awam menjelaskan saman mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program itu di sini, semalam.

Mohd Ramli berkata, orang ramai terutama di daerah ini dan kawasan sekitarnya termasuk Melaka boleh mengunjungi program itu yang dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Antara acara diadakan sempena program itu termasuk gotong royong bersama komuniti, kenduri sekampung, pemeriksaan motosikal, ceramah, acara sukan, pameran Jabatan Bomba dan Penyelamat, pameran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan demonstrasi.

Selain itu katanya, sempena program berkenaan 876 penduduk daerah ini termasuk Orang Asli yang berusia 40 ke atas akan menjalani ujian lesen memandu percubaan B2 (motosikal) dengan kos yang lebih murah iaitu RM180 berbanding kadar biasa yang dikenakan oleh institut latihan memandu RM300.

"Kebanyakan mereka itu termasuk paling tua berusia 80 tahun, sudah menunggang motosikal sejak lebih 10 tahun tetapi tidak memiliki lesen memandu dengan alasan kos yang tinggi dan tiada kemudahan JPJ dalam komuniti," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 1 OGOS 2009

Tiada ulasan: