Ditulis oleh Hamirul Hairi |
|
TANGKAK: Usaha yang dilakukan oleh Persatuan Sri Sakhti Ashram memperjuangkan kebajikan pendidikan anak-anak yatim di situ, mencerminkan keprihatinan masyarakat negeri ini terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman, berkata tanggungjawab dan peranan yang ditonjolkan persatuan itu mewujudkan suasana kekeluargaan yang lengkap dan harmoni dengan pendidikan pelbagai aspek kehidupan. "Pusat ini bukan sekadar pertubuhan yang menjalankan aktiviti kebajikan jangka pendek tetapi turut mensasarkan matlamat jangkamasa panjang dalam membasmi masalah sosial masyarakat India," katanya, ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kebajikan Sri Sakthi Ashram, di sini, baru-baru ini. Beliau turut memuji golongan belia di situ yang sanggup kembali ke kampung bagi menguruskan kerja-kerja kebajikan. "Saya bangga melihat belia kita di sini, kembali ke pekan ini dan menubuhkan Persatuan Sri Sakthi untuk membantu mereka yang memerlukan dari latar belakang yang pelbagai," katanya. Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan RM500,000 untuk membiayai baki kos pembinaan pusat itu. Sementara itu, pengasas pusat berkenaan, Mahalingam Maniam, berkata sejak pusat itu ditubuhkan 20 tahun lalu, pihaknya telah mengambil pendekatan menyeluruh terhadap pendidikan dan masalah sosial masyarakat India. "Pendekatan yang kita gunakan di sini menjurus kepada pembangunan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek termasuk jasmanai, rohani, emosi dan intelektual," katanya. Katanya lagi, itu semua bertujuan melahirkan pelajar yang berakhlak, dapat menguasai ilmu dan kemahiran serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY 26 OGOS 2009 |
Collaboration request
7 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan