PENGUNJUNG SETIA

07 Ogos 2009

PROGRAM PPPK BANTU PEKEBUN KECIL


HAMIM Samuri (kiri) meneliti produk kerepek selepas menyempurnakan majlis perasmian premis Pusat Pengumpulan Pengeluaran Hasil Pekebun Kecil di Sungai Mati, Ledang, kelmarin.

LEDANG 6 Ogos - Seramai 90 keluarga pekebun kecil di daerah ini dijangka mampu menambah pendapatan menerusi penglibatan mereka dalam pembekalan produk makanan ringan seperti kerepek pisang, ubi kayu dan kuih muih kering yang dikendalikan Pusat Pengumpulan Pengeluaran Hasil Pekebun Kecil (PPPK).

Malah, dengan pelantikan NBA Enterprise selaku pengedar produk itu, pulangan bagi pengeluaran produk tersebut diyakini lumayan serta dapat membantu memperbaiki taraf ekonomi masyarakat pekebun kecil di daerah ini.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, beliau yakin program PPPK yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu mampu menjadi sumber pendapatan alternatif kepada golongan pekebun kecil.

''Program seperti ini telah memberi impak kepada keluarga pekebun kecil apabila isteri mereka mampu menyumbang menerusi pengeluaran produk-produk makanan ringan dalam bentuk industri kecil dan sederhana (IKS).

''Usaha berterusan ini dapat memajukan masyarakat pekebun kecil di daerah Ledang dan saya berharap RISDA dapat memperbanyakkan lagi peluang bagi memenuhi tuntutan golongan masyarakat ini," katanya semasa merasmikan premis PPPK Sungai Mati, Ledang di sini, semalam.

Pada majlis itu, Hamim turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara NBA Enterprise dengan enam buah Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) dari daerah Ledang bagi membekal produk makanan ringan kepada syarikat itu.

Enam PWPK yang terlibat adalah dari Kampung Serom 3, Kampung Serom 5, Kampung Durian Condong, Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Kampung Hujung Tambak serta Kampung Seri Tanjung dan kesemuanya merangkumi 90 ahli yang merupakan isteri pekebun kecil RISDA.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd. Rahman; Pengarah RISDA Johor, Ka'ab Alias serta Pengurus NBA Enterprise, Nordin Ashaari.

Sementara itu, Ka'ab dalam ucapannya memberitahu, program yang membabitkan PWPK itu bertujuan untuk membantu setiap keluarga pekebun kecil menambah pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

''RISDA akan membantu bukan sahaja dengan menawarkan modal, malah memberi latihan kepada isteri pekebun kecil ini untuk menguasai kepakaran dalam IKS," katanya.

Katanya, program berkenaan nyata dapat membantu menjana pendapatan keluarga pekebun kecil dalam situasi harga komoditi getah dan kelapa sawit tidak menentu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 OGOS 2009

Tiada ulasan: