PENGUNJUNG SETIA

02 Ogos 2009

KPI POLITIK TINGKAT PRESTASI UMNO


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan cenderamata kepada veteran UMNO, Esah Tasrin iaitu bekas Bendahari Wanita UMNO Sri Gading pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Sri Gading di UTHM, Batu Pahat, semalam.


MUAR 1 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan bahagian parti itu di seluruh negara mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) politik bagi meletakkan sasaran dalam melaksanakan tugas terbaik kepada rakyat.

Tegasnya, ia bertujuan meningkatkan lagi keupayaan memenuhi tuntutan masyarakat dan mutu perkhidmatan parti berkenaan kepada rakyat dan seterusnya menjadi pelengkap sasaran KPI kerajaan dalam enam bidang utama.

“Kalau di peringkat kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan sasaran menerusi KPI, hal yang sama boleh diguna pakai untuk parti dengan menetapkan sasaran dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

“Sehubungan itu, pimpinan bahagian akan tahu tanggungjawab untuk melaksanakan lebih banyak program demi membawa perubahan kepada rakyat.

“Jika dia dapat menyelesaikan masalah rakyat maka daripada segi politik, ia membawa kesan positif terhadap usaha untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti kita,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Pekembar di Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat dan ADUN Jorak, Dr. Shaharuddin Salleh.

Muhyiddin berkata, KPI politik penting kerana setiap program yang dilaksanakan bukan sahaja akan memantapkan lagi parti tetapi juga memberi ‘dividen politik’ kepada UMNO.

Menurutnya, ia juga membolehkan setiap pimpinan parti bekerja untuk memenuhi keperluan sasaran yang ditetapkan sejajar dengan KPI kerajaan dalam enam bidang utama.

Bidang itu adalah mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan keselamatan; memerangi rasuah dengan lebih berkesan; pendidikan berkualiti untuk semua; meningkatkan pendapatan rakyat; meningkatkan infrastruktur luar bandar dan membaiki serta meningkatkan lagi sistem pengangkutan awam.

“Tanggungjawab UMNO bahagian adalah untuk membantu rakyat menghadapi situasi kelembapan ekonomi dengan menjalankan program-program yang boleh menambah pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mencadangkan setiap pemimpin mempunyai KPI sendiri sebaliknya cukup sekadar mempunyai sasaran untuk memulihkan keyakinan, melaksanakan program dan mengubah persepsi rakyat.

“Untuk mengubah persepsi masyarakat, kita kena susun dengan teratur bukan secara ad-hoc. Maka bahagian-bahagian perlu memenuhi tuntutan masyarakat dan ahli dengan turun padang dan berdamping dengan mereka.

“Jadi kita tahu apa masalah mereka, katakan jalan luar bandar. Satu daripada enam KPI utama adalah untuk menyediakan infrastruktur yang lebih lengkap dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, dalam akses pendidikan misalnya, KPI politik perlu membantu pelajar meningkatkan keputusan peperiksaan hingga murid-murid antara tahun satu hingga empat mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Mungkin mereka perlu membuat kelas tambahan dan menggerakkan program prasekolah,” katanya.

Mengenai draf cadangan pindaan Perlembagaan UMNO, Muhyiddin berkata, ia masih diperhalusi badan perhubungan UMNO negeri bagi membolehkan semua pihak memberikan pandangan dan cadangan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 2 OGOS 2009

Tiada ulasan: