PENGUNJUNG SETIA

19 Ogos 2009

SITUASI SEMASA PANDEMIK (H1N1) 2009

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia Pada 18 Ogos 2009

Dimaklumkan sehingga 18 Ogos 2009 jam 9.00 pagi sejumlah 276 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad, 36 pesakit yang disahkan H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara. Sementara itu 156 orang telah discaj dari wad dengan 129 dibekalkan antiviral. Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, di dapati 21 kes mempunyai faktor risiko iaitu DM (1), penyakit kronik (7), kegagalan buah pinggang (3), asma (2), obesiti (1), kecacatan otak (2), hamil dan bersalin (2) dan kanak – kanak di bawah setahun (3).

Untuk makluman sebanyak 3 kematian telah dilaporkan. Maklumat mengenai kematian tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Seorang wanita berumur 33 tahun telah dirujuk ke ICU hospital pada 7/8/09 di mana radang paru-paru yang dihadapinya bertambah teruk setelah 4 hari mendapat rawatan di hospital swasta. Pesakit telah dilaporkan mengalami demam dan batuk sejak 31/7/09 (dirawat di klinik swasta selama 2 hari dan dirujuk ke hospital swasta kerana radang paru-paru pada 3/8/2009). Rawatan antiviral telah dimulakan pada 7/8/09. Walau bagaimanapun beliau telah meninggal dunia pada 12/8/09 disebabkan oleh severe bronchopneumonia. Kes telah disahkan positif influenza A(H1N1) pada 12/08/09.

  2. Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun telah dimasukkan ke Hospital pada 27/7/09 dan telah didiagnosa sebagai Systemic Lupus Erythematous. Kemudian pada 5/8/2009 beliau dipindahkan ke ICU dengan gejala susah bernafas, sakit dada dan sakit perut. Rawatan antiviral telah dimulakan pada 7/8/09. Walaubagaimanapun beliau telah meninggal dunia pada 13/8/09 disebabkan oleh Systemic Lupus Erythematous with severe pnuemonia with renal impairment. Kes telah disahkan positif influenza A(H1N1) pada 13/8/2009.

  3. Seorang wargaemas berumur 71 pula adalah merupakan pengidap Chronic Obstrutive Airway (COAD), Hypertension, Ischaemic Heart Disease and Type II Diabetes Mellitus mengalami demam, batuk dan susah nafas selama 2 hari dimasukkan ke hospital pada 12/8/09. Rawatan antiviral telah dimulakan pada 12/8/09. Walaubagaimanapun beliau telah meninggal dunia pada 14/8/09 oleh Ischaemic Dilated Cardiomyopathy precipitated by pnuemonia. Kes telah disahkan positif influenza A(H1N1) pada 15/8/2009.

Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A(H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan influenza A(H1N1). Berikut adalah saranan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan penyakit ini :-

  1. Orang ramai yang mempunyai simptom influenza walaupun ringan dianjurkan tidak mengunjungi tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, melancong, pergi ke tempat kerja atau sekolah serta menaiki kenderaan awam. Perbuatan ini boleh menularkan jangkitan influenza A(H1N1) kepada orang awam dan kebimbangan adalah jangkitan kepada mereka dari kumpulan berisiko.

  2. Mereka yang bersimptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebarkan kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu sesiapa yang mempunyai simptom influenza mesti berada dirumah atau jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tiada bersimptom lagi.

  3. Sekiranya mereka yang bersimptom tapi perlu juga melakukan aktiviti luar rumah yang amat mustahak, mereka mestilah memakai topeng muka dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.

Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan sekali lagi bahawa rawatan antiviral hanya diberikan kepada 3 kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

  1. Individu yang mempunyai simptom influenza-like illness (ILI) dan mempunyai faktor risiko.

  2. 2. Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>380C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

  3. Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

Orang ramai juga terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-­88810200 dan 03-­88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 18 Ogos 2009

SUMBER: LAMAN WEB KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 18 OGOS 2009

Tiada ulasan: