PENGUNJUNG SETIA

01 Ogos 2009

JOHOR TETAP ZAKAT FITRAH RM5, RM7.50

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah berbeza tahun ini iaitu RM5 dan RM7.50 seorang mengikut harga pasaran semasa bagi dua jenis beras seperti yang ditetapkan dalam hukum syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata kadar itu untuk membolehkan orang ramai membayar mengikut kesedaran dan kemampuan masing-masing.

"Berbanding RM6.50 seorang tahun lalu, umat Islam di Johor tahun ini boleh membayar zakat fitrah mengikut kesedaran sendiri, bagi mereka yang memakan beras biasa, bayaran zakat fitrah ialah RM5 seorang, manakala bagi mereka yang memakan beras mahal dikehendaki membayar RM7.50 seorang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Memartabatkan Ummah MAINJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Hadir sama Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Abdul Rahman Jaffar dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Zainal berkata, pihaknya mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11 juta membabitkan kira-kira 1.7 juta pembayar yang layak, berbanding tahun lalu iaitu RM8.4 juta.

Katanya, MAINJ turut meletakkan sasaran pungutan zakat RM110 juta melalui pelbagai jenis zakat termasuk pendapatan, perniagaan, harta dan fitrah bagi tahun ini.

"Jumlah pungutan zakat pendapatan negeri ini adalah sebanyak RM27.7 juta dengan pembayaran zakat melalui potongan gaji atau skim infaq sebanyak RM18.2 juta dengan penyertaan 29,467 pembayar," jelasnya.

Dalam pada itu, MAINJ turut menandatangani memorandum perjanjian persefahaman dengan PPZ bagi membolehkan sistem berkomputer MAIWP diguna pakai oleh MAINJ untuk meningkatkan sistem penyampaiannya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 1 OGOS 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdullah... dah di jelaskan..
drp: 2/5, tmn saujana, kota tinggi