PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2009

100 KUBUR PENGIKUT TEMENGGONG TERBIAR, SEMAK

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Persatuan minta Yayasan Warisan Negeri bangun semula kawasan

MUAR: Kira-kira 100 kubur lama di percayai kubur pengikut Temenggong Muar ketujuh, Engku Mohd Salleh Engku Ismail yang disemadikan di pesisiran Sungai Muar, di Kampung Pengkalan Kota, Durian Condong, dekat Bukit Serampang, di sini, sudah lama terbiar serta dipenuhi semak.

Keadaan itu menyebabkan banyak batu nisan di tanah perkuburan itu rebah, manakala sebahagian lagi hilang dipercayai dihanyutkan air ke sungai ketika banjir.

Persatuan Waris Temenggong Muar (Pewaris) Johor yang berjaya mengesan tanah perkuburan lama itu selepas lawatan Profesor Mika Okushima, 39, dari Kanda University of International Studies, Jepun, ke makam Temenggong Muar ketujuh di kampung itu, pada Mac lalu bertindak membersihkan tanah perkuburan berkenaan, baru-baru ini.

Justeru, Pewaris berharap usaha dilakukan itu mendapat menarik perhatian Yayasan Warisan Negeri Johor, membangunkan semula makam pembesar Muar supaya dapat dijadikan sebagai produk pelancongan di daerah ini.

Pengerusi Pewaris, Raja Abdul Rahman Raja Basok, 44, berkata selain melawat daerah ini, Okushima melakukan lawatan ke Segamat bagi meninjau keadaan enam lagi makam Temenggong Muar yang disemadikan di Kampung Makam, Lubuk Batu, di daerah itu.

Beliau berkata, lawatan Okushima sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Jepun untuk menerbitkan buku mengenai sejarah Temenggong Muar dan yang berkaitan dengan pemerintahan Kesultanan Johor Lama.

"Bagi mengelak kubur lama di pesisiran sungai itu terus terbiar, Pewaris bersama 10 ahlinya bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan berkenaan dalam usaha mengesan lebih banyak kubur keturunan Temenggong Muar yang disemadikan di situ.

"Peserta gotong-royong itu daripada beberapa waris Temenggong Muar ketujuh, yang masih hidup dan tinggal di beberapa kampung di daerah ini dan Segamat," katanya ketika di temui di kampung berkenaan.

Katanya, selain kubur lama dibersihkan, peserta membersihkan makam Engku Mohamad Salleh yang mangkat pada 1902 dan masih ada di kampung itu.

Seorang ahli Pewaris, Mohd Yunus Kassim, 58, berkata bagi membolehkan kampung itu dikunjungi pelawat luar kawasan, kerajaan perlu menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur termasuk menaikkan taraf jalan raya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) pula wajar memasang papan tanda nama Kampung Pangkalan Kota dan Makam Temenggong Muar di persimpangan jalan masuk ke Durian Condong dari pusat bandar.

"Langkah membangunkan Makam Temenggong Muar dengan mewartakannya sebagai destinasi pelancongan boleh menjana ekonomi penduduk kampung melalui perniagaan dan perusahaan.

"Tindakan itu juga selaras hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kesan peninggalan sejarah yang banyak di sepanjang pesisiran Sungai Muar terutama di kawasan pedalaman daerah ini sebagai produk pelancongan, " katanya.

Ketua Kampung Pangkalan Kota, Anwar Hamzah, 53, berkata langkah membangunkan semula Makam Temenggong Muar yang bersemadi di kampung itu, selain menjadi tarikan pengunjung, boleh dijadikan rujukan dan panduan orang ramai mengenai sejarah Muar khususnya generasi muda.

Beliau berkata, bagi memastikan tanah perkuburan lama itu mendapat penjagaan lebih sempurna, pihak berkuasa perlu mewartakannya sebagai Makam Pembesar Muar, sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Katanya, jika sebelum ini makam itu boleh dilawati seorang profesor dari Jepun, tidak mustahil lebih ramai pengkaji sejarah dari negara luar datang membuat kajian mengenai sejarah Muar pada masa akan datang.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 JULAI 2009

1 ulasan:

Unknown berkata...

Kenapa harapkan orang luar untuk kaji sejarah kita ? Mana pergi cerdik pandai kita ! ?