PENGUNJUNG SETIA

31 Julai 2009

JOHOR TETAPKAN DUA KADAR BAYARAN ZAKAT FITRAH

JOHOR BAHRU 30 Julai - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM5 atau RM7.50 seorang berbanding RM6.50 seorang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, kadar itu ditetapkan mengikut harga pasaran semasa bagi dua jenis beras seperti yang ditetapkan dalam hukum syarak.

''Bayaran boleh dibuat mengikut kesedaran sendiri iaitu bagi mereka yang memakan beras biasa maka bayaran zakat fitrah ialah RM5 seorang, manakala bagi mereka yang memakan beras mahal maka dikehendaki membayar RM7.50 seorang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Memartabatkan Ummah MAINJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Johor di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Abdul Rahman Jaffar dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Pada majlis itu, MAINJ turut menandatangani memorandum perjanjian persefahaman dengan PPZ bagi membolehkan sistem berkomputer MAIWP diguna pakai oleh MAINJ untuk meningkatkan sistem penyampaian MAINJ.

Zainal Abidin berkata, tahun ini bukan pertama kali Johor menetapkan dua kadar bayaran bagi zakat fitrah kerana ia pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu.

Justeru, katanya, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11 juta daripada kira-kira 1.7 juta pembayar.

Menurutnya, jumlah sasaran berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu RM8.4 juta bagi kutipan zakat fitrah.

Sementara itu, beliau berkata, MAINJ menyasarkan pungutan zakat RM110 juta melalui pelbagai jenis zakat termasuk pendapatan, perniagaan, harta dan fitrah bagi tahun ini.

''Jumlah punggutan zakat pendapatan negeri ini adalah sebanyak RM27.7 juta dengan pembayaran zakat melalui potongan gaji atau skim infaq sebanyak RM18.2 juta dengan penyertaan 29,467 pembayar," jelasnya.

Menurutnya, daripada jumlah potongan gaji tersebut RM9.7 juta adalah kakitangan kerajaan dan badan berkanun, kakitangan swasta (RM8.2 juta), pihak berkuasa tempatan (RM219 juta) dan kakitangan Persekutuan (6.5 juta).

Katanya, sebanyak RM252,000 daripada jumlah pungutan zakat kakitangan Persekutuan adalah daripada anggota polis Johor membabitkan 1,345 pembayar.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 JULAI 2009

Tiada ulasan: