TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

24 Julai 2009

ROGOL GADIS DIPENJARA EMPAT TAHUN

LEDANG 23 Julai - Seorang mekanik menyangka 'kegiatannya' bersama teman wanita di dalam kereta yang diletakkan di celah bangunan pada waktu malam tidak akan dilihat oleh orang ramai.

Namun nasibnya tidak baik.

Anggota unit peronda polis yang membuat pemantauan di kawasan berkenaan berjaya mengesan 'kegiatan' mereka.

Ekoran laporan ibu gadis itu, pemuda tersebut semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Tangkak dekat sini atas tuduhan merogol gadis berusia 15 tahun itu.

Muhammad Nur Amin Aziz, 21, mengaku melakukan perbuatan berkenaan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di celah bangunan di Taman Bakri Makmor, Muar pada pukul 9.30 malam, 14 Julai lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap pemuda itu setelah mengambil kira rayuan tertuduh.

''Saya berharap kamu telah benar-benar insaf. Dahulu seksyen ini memperuntukkan hukuman minimum namun sekarang sudah tiada lagi.

''Memandangkan ini adalah kesalahan pertama kamu, saya beri peluang dengan menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun,'' katanya.

Di bawah peruntukan Seksyen 376 Kanun Keseksaan, tertuduh yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menyatakan, mangsa merupakan kekasihnya dan dia juga tidak mengetahui hukuman berat atas kesalahannya itu.

Dia juga meminta Mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia turut membantu ibu bapa menyara adik-beradiknya yang masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadli Sutris manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JULAI 2009

Tiada ulasan: