PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2009

RM120 JUTA BINA 62 SEKOLAH AGAMA

NUSAJAYA 7 Julai - Masalah kesesakan pelajar di sekolah-sekolah agama di negeri ini dijangka selesai dengan pembinaan 62 buah sekolah agama secara serentak, melibatkan kos keseluruhan pembinaan sebanyak RM120 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Othman berkata, fasa pertama pembinaan kesemua sekolah berkenaan dijangka selesai dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, antara kawasan yang terlibat ialah di Taman Mutiara Rini, Mount Austin, Kampung Pagoh Dua, Bandar Seri Perani, Parit Awang, Pekan Layang-Layang dan Simpang Renggam.

"Kesemua projek di kawasan berkenaan telah disenaraikan dalam fasa pertama Projek Pembangunan Prasarana Sekolah-Sekolah Agama Johor manakala fasa kedua pula yang melibatkan kawasan Taman Pelangi dan Bukit Siput di daerah Segamat akan dilaksanakan sekiranya mendapat peruntukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM5.6 juta bagi menambah elaun guru-guru KAFA sambilan yang seramai 1,711 orang.

Katanya, pengiraan pembayaran elaun mereka adalah mengikut jumlah jam mengajar dalam sehari.

"Secara umumnya, guru KAFA yang mengajar 4 jam 30 minit diberi tambahan sejumlah RM312 menjadikan jumlah elaun sebanyak RM812 manakala bagi mereka yang mengajar tiga jam sehari pula telah ditambah elaunnya RM112 menjadi jumlah elaunnya RM612.

"Malahan semasa Majlis Multaqo Penyelia dan Guru-Guru KAFA peringkat negeri pada 27 Jun yang lalu, dimaklumkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang dalam rangka mengkaji semula kenaikan elaun guru KAFA sejajar dengan kenaikan barangan keperluan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 JULAI 2009

Tiada ulasan: