PENGUNJUNG SETIA

02 Julai 2009

KMJ BAWA MESEJ PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR

JOHOR BAHRU: Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 selama empat hari bermula 4 Julai ini menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), menyaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dengan diiringi anakandanya, Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim memfokuskan tumpuan bertemu masyarakat pedalaman terutama Orang Asli.


KMJ tahun ini, masuk tahun ke-11 penganjurannya akan turut memberikan perhatian kepada projek pemuliharaan hidupan liar di negeri ini, dengan mendekati masyarakat Orang Asli yang dikenal pasti antara yang terbabit membantu pemburu dan peniaga haram hidupan liar.

Pelancaran logo KMJ Jelajah Pedalaman 2009 dilakukan Tunku Ibrahim Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) di sini kelmarin, dan turut dihadiri Tunku Ismail Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ali Hassan.

Abdul Ghani dalam ucapannya, mengakui bahawa KMJ yang dilahirkan hasil idea Tunku Ibrahim Ismail berjaya menyemarakkan kerjasama dan jalinan erat antara institusi Raja, pemimpin negeri, kakitangan kerajaan dan rakyat sekali gus memberi pengertian mendalam daripada segi keharmonian perhubungan dalam pelbagai peringkat itu.

"Kini, rakyat Johor setiap tahun tertunggu KMJ kerana ia menjadi jambatan yang dapat memperkukuhkan perpaduan antara rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Tunku Ibrahim Ismail yang juga penaung Projek Pemuliharaan Hidupan Liar Johor turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) dan Aquawalk Sdn Bhd.

KMJ Jelajah Pedalaman 2009 ini, akan bermula di Bukit Timbalan di sini, dan merangkumi semua 10 daerah di negeri ini, dengan sebanyak 11 kampung Orang Asli dan tiga kampung tradisi akan dilawati.

Rombongan KMJ ini, yang terdiri daripada kira-kira 150 peserta akan menaiki 40 kenderaan 4WD dan dijangka melalui kira-kira 35 peratus jalan tidak bertar (offroad).

SUMBER: BERITA HARIAN, 2 JULAI 2009

Tiada ulasan: