PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2009

JALAN BERLUBANG BERBAHAYA

ROSAK...Keadaan jalan benteng yang menghubungkan Simpang 5 Darat dengan Parit Kassan rosak dan berbahaya kepada pengguna.

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Agensi diminta pantau kerosakan jalan benteng di Simpang 5 Darat

MUAR: Agensi yang terbabit dengan pembinaan jalan luar bandar diminta memantau masalah kerosakan jalan benteng di Simpang 5 Darat ke Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, di sini bagi memastikan keselesaan pengguna khususnya petani ketika memasarkan hasil pertanian mereka.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata keadaan jalan yang rosak teruk itu dengan sebahagian permukaannya pula mempunyai lubang yang lebar dan dalam, boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Beliau berkata, walaupun kedudukan jalan benteng itu di kawasan pedalaman perkampungan berkenaan, tetapi menjadi laluan utama penduduk terutama petani.

Katanya, mereka menggunakan jalan itu sama ada untuk menguruskan tanah dengan bercucuk tanam atau mengeluarkan hasil dari kebun untuk dipasarkan.

"Selaku wakil rakyat, saya sudah beberapa kali membangkitkan masalah kerosakan jalan berkenaan termasuk membincangkannya dalam mesyuarat tindakan daerah supaya dapat diatasi.

"Kerosakan yang berlarutan boleh menimbulkan masalah penduduk termasuk pelajar yang menggunakan jalan itu ke sekolah di pekan Bukit Gambir," katanya mengulas laporan mengenai jalan rosak menyukarkan petani yang disiarkan akhbar ini, Isnin lalu.

Jalan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer yang menghubungkan dua perkampungan berkenaan turut menjadi laluan utama penduduk sama ada untuk ke Bandar Tangkak dan Pekan Sagil, mengalami kerosakan teruk sejak enam bulan lalu.

Hamim berkata, sebelum ini jalan itu hanya dilalui lori kecil untuk mengangkut hasil pertanian terutama kelapa sawit dan buah-buahan selain kereta persendirian, motosikal dan bas sekolah.

Namun, katanya, sejak beberapa bulan lalu, jalan itu turut dilalui lori yang mengangkut bahan binaan untuk pembinaan projek bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kassan, menjadikan kerosakan jalan itu semakin bertambah.

"Justeru, saya berharap agensi pelaksanaan projek jalan raya luar bandar termasuk JKR memantau laluan lori kontraktor yang membawa bahan binaan berikutan kerja pembinaan bangunan sekolah berkenaan.

"Tindakan itu penting bagi mengelak lebih banyak permukaan jalan berkenaan pecah sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan lebih besar untuk membina jalan baru kelak," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 29 JULAI 2009

Tiada ulasan: