PENGUNJUNG SETIA

27 Julai 2009

PUPUK 1MALAYSIA DI SEKOLAH

LEDANG 26 Julai - Konsep 1Malaysia perlu dipupuk di sekolah- sekolah khususnya melalui sistem pelajaran kebangsaan bagi memperkukuhkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sistem tersebut merupakan wadah terbaik bagi menyatukan pelajar di peringkat akar umbi terutama dari tingkatan satu hingga lima.

"Saya percaya sistem pelajaran kebangsaan yang ada di peringkat menengah adalah satu kesempatan untuk anak Malaysia membangun bersama-sama di peringkat usia yang muda dan mendapat ilmu pengetahuan.

"Kita perlu gunakan tempoh persekolahan ini untuk memupuk bangsa Malaysia sebagai rakyat yang bersatu dan saling memahami," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Chung Hwa, Belemang, Serom di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri, Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Bukit Gambir yang juga Exco kerajaan negeri, M. Asojan serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Chew Kok Wing.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menaik taraf kemudahan di sekolah tersebut di samping peruntukan RM300,000 untuk membina dewan serbaguna.

Menurut Abdul Ghani, rakyat di negara ini wajar bersyukur kerana walaupun matlamat sistem pelajaran berkenaan adalah jelas, keterbukaan tetap diberikan untuk memenuhi cita rasa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

"Kita mempunyai dasar yang begitu sederhana, berbeza dengan negara lain yang mengamalkan dasar ekstrem dan menidakkan masyarakat untuk mendapat pilihan bagi pelajaran anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, menurut Abdul Ghani, kerajaan negeri sentiasa peka mengenai keperluan pendidikan serta agama bagi masyarakat berbilang bangsa di negeri ini

"Kerajaan negeri telah pun mengambil pendekatan terbuka dan kami memenuhi permintaan masyarakat yang mahukan sekolah, masjid serta rumah ibadat bagi agama masing-masing," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JULAI 2009

Tiada ulasan: