Ditulis oleh Noor Hanizah Binti Ariffin (Evolution Xtreme/Jelajah Johor) |
|
LEDANG: Tidak seperti rakan sebaya yang lebih teruja bekerja di bandar, Mohd Amir Wagiman, memilih bukan sahaja menetap di kampung malah menjadi petani pula mengusahakan tanah milik bapanya di Kampung Sagil Parit 2, dekat sini. Anak muda berusia 24 tahun itu bersama lapan lagi rakannya dari pelbagai peringkat usia, berkongsi tenaga mencurah keringat di atas tanah seluas 12 hektar dengan tanaman kacang panjang, lada cili, terung, bendi dan pisang. Ketika amat payah untuk menemui belia sanggup bekerja di kampung tempat lahir, Mohd Amir dan rakan-rakannya membuktikan bahawa mereka mampu berbakti kepada tanah sehingga dapat menuai hasilnya, sekali gus diiktiraf sebagai Kelompok Tani Jaya Daerah Muar dan Ledang. Menurut beliau, kos awal untuk memulakan pertanian itu agak tinggi, namun dengan bantuan keluarga ia dapat ditangani dan kini hasil pendapatan bulanannya mencecah gaji seorang jurutera baru bekerja di sektor awam. Rakan sekolompoknya, Rosli Dari, 37, menjelaskan bahawa mereka juga mendapat bantuan dari Jabatan Pertanian yang turut memantau dari segi kuantiti dan kualiti hasil tanaman, agar bukan sahaja memenuhi permintaan pasaran malah piawaiannya. "Kualiti tanaman ini kadangkala mengikut keadaan cuaca. Jika cuaca elok dan air mencukupi, hasil tanaman turut berkualiti," katanya ketika ditemui di kawasan pertanian itu baru-baru ini. Mereka memasarkan hasil pertanian itu terutamanya sayur-sayuran melalui pemborong-pemborong untuk dibawa ke pasar borong di Selayang dan beberapa lagi kawasan di Kuala Lumpur. Walaupun Jabatan Pertanian memberikan bantuan tetapi kos membeli racun serangga perlu ditanggung sendiri dan ia telah meningkatkan kos operasi mereka. Kos yang agak tinggi itu kadangkala menyebabkan pulangan tidak mencapai tahap yang dijangkakan berikutan pihak pemborong membeli pada paras harga rendah. Adalah difahamkan pemborong meletakkan harga hampir separuh dari harga pasaran. SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY 28 JULAI 2009 |
Collaboration request
7 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan