PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2009

LELAKI SAMUN RAKAN IBU KENA 15 TAHUN

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Penghidap HIV mengaku rompak warga emas

TANGKAK: Seorang lelaki yang juga penghidap HIV dihukum penjara 15 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana merompak dua gelang tangan milik dua wanita termasuk seorang warga emas yang juga kenalan ibunya.

Tertuduh, 35, mengaku bersalah merompak seutas gelang tangan seorang warga emas berusia 78 tahun, ketika mangsa sedang menyiram bunga di rumahnya, dalam kejadian di Muar, kira-kira jam 8 pagi, 16 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak gelang tangan emas seorang wanita berusia 54 tahun ketika mangsa datang ke rumah tertuduh di Kampung Jayor, dekat Pagoh, pada jam 2.15 petang, 5 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Hakim Kamarudin Kamsun, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi kesalahan pertama dan lapan tahun penjara bagi kesalahan kedua.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan supaya hukuman itu berjalan serentak menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhli Mat Satris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki berusia 19 tahun dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah meragut beg tangan milik seorang wanita, di hadapan Syarikat Leong Hup, Jalan Abdullah, Muar, kira-kira jam 8.10 pagi, 6 Julai lalu.

Hakim Kamarudin memerintahkan Firdaus Khamis menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditahan iaitu pada hari kejadian.

Mengikut fakta kes, tertuduh meragut beg tangan ketika mangsa keluar daripada kereta di hadapan tempat kerjanya di Syarikat Leong Hup, dan mangsa yang menjerit menyebabkan beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan tertuduh bersama beg tangan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 JULAI 2009

Tiada ulasan: