PENGUNJUNG SETIA

06 Julai 2009

TEMA HARI GURU TEPATI PERANAN GURU MASA KINI

Oleh ADISABARIMAN

LEDANG: Tema sambutan Hari Guru tahun ini, 'Guru Pembina Negara Bangsa' bersesuaian dan menepati peranan guru masa kini dalam menyempurnakan hasrat dan cita-cita negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat berkata, tema itu bertepatan dengan hasrat dan cita-cita negara untuk melahirkan pelajar-pelajar yang bakal menjadi warganegara Malaysia yang berkualiti dari segi kepelbagaian displin ilmu dan akhlak mulia.

Katanya, warga yang berkualiti dan mahir dalam menyesuaikan tingkah laku dalam pelbagai keadaan, bertoleransi, berkomunikasi secara berkesan dan jati diri terhadap negara adalah selaras dengan arus perdana negara dalam mencapai matlamat negara maju dalam era globalisasi.

"Sebelum seseorang pelajar atau warganegara dilahirkan sebegitu rupa, langkah pertama bermula daripada pengajaran guru itu sendiri dan tema Hari Guru itu sendiri boleh dilihat dari satu tahap yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru bagi Guru-guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Daerah Muar/Ledang, baru-baru ini.

Sambutan yang diadakan di Dewan Al-Habshi, Sekolah Menengah Agama Loghatul Quran, Kesang Tasik turut dihadiri Pegawai Pendidikan Agama Daerah Muar, Abdul Wahid Abdullah dan Guru-guru Agama Daerah Muar dan Ledang.

Tahir mengingatkan bahawa kemakmuran negara yang dinikmati pada hari ini adalah sebahagian daripada kejayaan yang dicanai dan dibentuk oleh guru bermula dari bilik darjah hinggalah di luar bilik darjah.

Tambahnya lagi, kejayaan guru melaksanakan yang terbaik dalam mendidik anak-anak bangsa merupakan satu kejayaan terhadap negara dan menjadi kebanggaan masyarakat seluruhnya.

Pada majlis itu, mantan Pegawai Pendidikan Agama Daerah Segamat, Ustaz Sulaiman Sharif telah dipilih sebagai Tokoh Guru Agama Daerah Muar manakala Guru Agama Cemerlang disandang oleh Guru Besar Sekolah Agama (SA) Bandar Maharani, Ustaz Mohd Hassan Rahmat dan bagi Guru Sekolah Menengah Agama (SMA) cemerlang pula disandang oleh Pengetua SMA Darul Ulum, Serom 4, Ustaz haji Muhammad Ismail.

Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah SA Parit Setongkat bagi kategori Tadika Agama Johor (TAJ) Cemerlang dalam bandar manakala bagi luar bandar disandang oleh SA Sagil Kampung, Tangkak.

Bagi kategori Sekolah Agama cemerlang dalam bandar dimenangi oleh SA Bakri Batu 6 manakala kategori luar bandar pula, SA Parit Haji Zin terpilih menerima anugerah tersebut. Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah, Kundang Ulu pula terpilih dalam kategori SMA cemerlang.

Bagi kategori Badan Kebajikan Cemerlang pula, SA Bandar Tangkak terpilih bagi sekolah agama dalam bandar manakala SA Pekan Pagoh pula bagi kategori luar bandar dan bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) cemerlang pula, SMA Loghatil Arabiah, Tangkak terpilih bagi kategori tersebut.
-iNFOLEDANG

Tiada ulasan: