PENGUNJUNG SETIA

01 Julai 2009

WANITA VIETNAM ANTARA ENAM DITAHAN KES CULIK

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan enam orang termasuk seorang wanita warga Vietnam kerana menculik seorang wanita berusia 55 tahun dan menuntut wang tebusan RM1 juta dalam serbuan di Ledang, Muar dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang, polis turut merampas wang tunai RM556,976 dipercayai baki wang tebusan yang diserahkan keluarga mangsa kepada penculik terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kumpulan terbabit menculik mangsa ketika wanita itu sedang beriadah di kawasan Serom 8, Sungai Mati, Ledang, kira-kira jam 6.30 petang Isnin minggu lalu sebelum meminta keluarganya membayar tebusan RM1 juta.

Beliau berkata, mangsa yang ditahan empat hari itu kemudian dibebaskan, Jumaat lalu selepas keluarganya membayar wang tebusan RM650,000 kepada penculik terbabit.

Katanya, bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah negeri menubuhkan satu pasukan khas sebelum menahan enam orang yang berusia antara 19 dan 35 tahun, termasuk seorang wanita rakyat Vietnam dalam serbuan di sekitar daerah Ledang, kira-kira jam 4.30 petang pada hari mangsa dibebaskan.

"Dalam serbuan itu, polis menemui semula wang tunai sebanyak RM556,976 yang dipercayai baki daripada jumlah wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa kepada kumpulan penculik terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Mokhtar berkata, pihaknya kini menahan reman enam suspek terbabit selama tujuh hari berakhir Jumaat ini dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1991 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal ke atas suspek terbabit juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan pernah dikenakan hukuman penjara setahun.

“Polis masih meneruskan siasatan dan sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Chew Ern Tik, 39, pemegang kad pengenalan 700824-01-5553 untuk membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi talian hotline IPK Johor 07-2212999 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: BERITA HARIAN, 1 JULAI 2009

Tiada ulasan: