TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 Julai 2009

KMJ EMPAT HARI TINJAU MASALAH RAKYAT PEDALAMAN

Oleh Azman Zakaria
azmanz@bharian.com.my

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail akan mendengar permasalahan dan melihat sendiri pembangunan di kawasan pedalaman, khususnya di perkampungan Orang Asli sepanjang Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 selama empat hari bermula Sabtu ini.

Pegawai jabatan dan agensi kerajaan yang mengikuti KMJ itu akan mencatatkan permasalahan yang disampaikan oleh masyarakat terbabit kepadanya.

Katanya, beliau ingin melihat sendiri keadaan di perkampungan Orang Asli, selepas mengumpulkan dan bertemu dengan semua Tok Batin dari 64 kampung Orang Asli seluruh negeri ini di Kluang pada 2002.

"Sekarang ini saya nak masuk ke kampung mereka dan melihat keadaan pembangunan di sana, termasuk keadaan infrastruktur dan kebersihan.

"Permasalahan yang kita lihat dan disampaikan penduduk terbabit akan dicatat oleh pegawai. Kita akan ambil perhatian, dan saya akan bertanya kepada pegawai yang berkenaan kemudian bentuk tindakan yang diambil untuk mengatasinya.

"Tapi janganlah minta benda yang tidak munasabah... yang berpatutanlah," katanya dalam temu bual di kediaman rasminya di Istana Pasir Pelangi di sini.

Sebagai contoh katanya, permintaan untuk bekalan elektrik atau air di kawasan yang terlalu jauh di pedalaman dan dihuni oleh bilangan keluarga Orang Asli yang kecil, adalah sukar kerana ia membabitkan kos yang terlalu tinggi.

Dalam hal seperti itu, katanya, adalah lebih baik penduduk terbabit dipindah dan ditempatkan di tanah rancangan Felda atau Felcra.

Beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk menaik taraf kehidupan penduduk di pedalaman dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti sistem solar dan jalan.

Justeru, katanya, masyarakat di pedalaman dan Orang Asli mesti bersyukur serta berterima kasih kepada kerajaan.

KMJ Jelajah Pedalaman 2009 yang berkonsepkan pengembaraan pacuan empat roda (4WD) dan diketuai Tunku Ibrahim itu akan turut diiringi anakandanya, Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim,

KMJ yang masuk tahun ke-11 penganjurannya tahun ini, akan bermula di Bukit Timbalan di sini dan merangkumi semua 10 daerah di negeri ini, dengan 11 kampung Orang Asli dan tiga kampung tradisi akan dilawati.

Rombongan KMJ ini, yang terdiri daripada kira-kira 150 peserta akan menaiki 40 kenderaan 4WD dan dijangka melalui kira-kira 35 peratus jalan tidak bertar (offroad) dengan mengambil masa selama kira-kira 80 jam sebelum majlis penutupnya, di Kampung Nelayan, Benut, Pontian.

Pada hari pertama kembara, rombongan akan melalui perjalanan sejauh kira-kira 250 kilometer (km), hari kedua (317km), hari ketiga (298km) dan hari keempat (165km).

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 JULAI 2009

Tiada ulasan: