PENGUNJUNG SETIA

06 Julai 2009

SUKU KANAQ KIAN PUPUS

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

Tinggal 100 orang kaum minoriti Orang Asli di pedalaman Johor

MERSING: Mungkin sukar dipercayai, terdapat satu kaum minoriti yang tinggal di pedalaman Johor, semakin diancam kepupusan kerana jumlah mereka kini dipercayai kurang dari 100 orang.

Sebelum ini mungkin ramai yang tidak mengetahuinya dan mungkin juga tidak ramai yang pernah mendengar masyarakat Orang Asli suku Kanaq.

Namun, kesempatan mengikuti rombongan Kembara Mahkota Johor Jelajah Pedalaman 2009, memberi pendedahan baru kepada ramai pihak termasuk media khususnya mengenai Orang Asli suku Kanaq yang dikenal pasti tinggal di Kampung Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi.

Beberapa masyarakat Kanaq yang sempat ditemui ketika menyambut kunjungan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar bersama rombongan, di kampung mereka kelmarin, mengakui kaum mereka semakin menyusut.

Malah mereka sendiri bimbang kaum Kanaq akan terus hilang kerana jumlah mereka dipercayai semakin menyusut sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Yam Bongkok, 80, berkata satu ketika dulu jumlah penduduk kampung berkenaan agak ramai, tetapi beliau tidak pasti angka sebenar.

"Setahu saya dulu memang agak ramai, tetapi sekarang hanya kami ini sajalah yang berbangsa dan berbahasa Kanaq.

"Saya tak tahulah apa punca sebenarnya yang menyebabkan jumlah penduduk kampung ini semakin berkurangan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Maarof Batin Baba, 52, berkata beliau amat mengharapkan supaya jumlah penduduk kampung itu bertambah dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk memastikan kaum Kanaq tidak pupus.

Beliau yang mempunyai tujuh anak berusia antara lapan hingga belasan tahun berjanji akan terus mempertahankan kaum Kanaq dan percaya generasi akan datang akan meneruskan usahanya itu.

"Kami memang tidak tahu entah ke mana hilangnya sebahagian daripada masyarakat kami. Ada yang keluar kampung, kami cari tapi tak jumpa sampai hari ini dan inilah sebabnya tinggal sekelompok kami di sini.

"Saya amat berharap supaya tidak ada lagi penduduk kampung ini yang cicir macam dulu, hingga akhirnya hilang begitu saja dan jumlah penduduk kampung kami makin kurang," katanya.

Maarof mengakui bahasa suku Kanaq jauh berbeza dengan bahasa masyarakat Orang Asli lain di Johor seperti Jakun atau Orang Kuala.

"Bahasa Kanaq, kami di sini sajalah yang pakai... kampung lain mereka pakai bahasa sendiri. Dulu orang luar mungkin tidak mengetahui kaum Kanaq, tetapi dengan kehadiran Tuanku (Tunku Ibrahim), saya percaya orang ramai sudah tahu, kami ada di sini," katanya.

Sebelum singgah di Kampung Sungai Selangi, hari pertama Kembara Mahkota Johor Jelajah Pedalaman 2009, konvoi lebih 70 kenderaan pacuan empat roda yang diketuai Tunku Ibrahim, turut singgah di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, Kampung Pasir Salam dan bermalam di Kampung Tanah Abang, Mersing.

SUMBER: BERITA HARIAN, 6 JULAI 2009

Tiada ulasan: