PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2009

304,000 BERITA HARIAN, NST DI 400 SEKOLAH LUAR BANDAR

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my



Muhyiddin melancarkan Projek Gerak Bakti UPSR sambil diperhatikan dari kiri Razali, Khairy, Abdul Ghani dan Dusuki di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, semalam.

16,000 murid dapat manfaat bahan bacaan tambahan

MUAR: Sebanyak 304,000 akhbar Berita Harian dan News Straits Times (NST) berserta sisipan Didik akan dibekalkan kepada kira-kira 400 sekolah luar bandar dan pedalaman di seluruh negara sebagai bahan bacaan serta rujukan tambahan murid.

Projek Gerak Bakti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) itu adalah tajaan AmanahRaya dengan kos keseluruhan lebih RM500,000.

Lebih 16,000 murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

Pelancaran projek itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Kumpulan AmanahRaya, Datuk Dusuki Ahmad; Pengerusi Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan, Khairy Jamaluddi; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, langkah AmanahRaya membekalkan akhbar bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris ke sekolah luar bandar itu menunjukkan sikap prihatin organisasi korporat untuk berganding bahu dengan kementerian bagi memperkasa generasi muda.

Beliau berharap murid sekolah menggunakan sepenuhnya bahan bacaan itu dan memberikan tumpuan 100 peratus penguasaan pelajaran yang diambil dalam UPSR, sekali gus mencatatkan keputusan cemerlang.

Sementara itu, ketika mengulas kejadian sebuah jeti dan kawasan tebing di tebing Sungai Muar, dekat pekan Panchor di sini, yang siap dibina awal tahun lalu dengan kos kira-kira RM1.3 juta, runtuh pada petang Ahad lalu, Muhyiddin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta menangani masalah itu segera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kajian perlu dilakukan sama ada tanah di kawasan itu tidak stabil atau berada di laluan hakisan air yang kuat.

Muhyiddin berkata, sebelum ini sudah ada kajian untuk memperkukuhkan tebing di sepanjang Sungai Muar termasuk di kawasan Kundang Ulu, Gersik, Panchor dan kampung yang berada berhampiran sungai.

Ketika berucap pada Program Ramah Mesra Warga Felda Lenga dan Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR), di Felda Lenga, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak meminggirkan generasi kedua Felda bagi memastikan kesinambungan usaha pembangunan di kawasan tanah rancangan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, kerajaan bukan hanya membela peneroka asal tanah rancangan itu, malah anak mereka yang menjadi generasi seterusnya di Felda juga diberikan perhatian.

Katanya, antara langkah dilaksanakan kerajaan ialah projek perumahan untuk generasi kedua dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang membina rumah pada harga lebih murah dan dilengkapi kemudahan asas.

SUMBER: BERITA HARIAN, 8 JULAI 2009

Tiada ulasan: