PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2009

HARI BERSAMA PELANGGAN DI MUAR

MUAR 28 Julai - Program Hari Bersama Pelanggan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di pekarangan Stadium Muar kelmarin berlangsung meriah dengan pelbagai khidmat ditawarkan kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Nik Omar Nik Ab. Rahman berkata, penganjuran program peringkat negeri Johor itu mempunyai signifikan bagi mendedahkan masyarakat mengenai pelbagai peranan kementerian tersebut.

"Objektif Hari Bersama Pelanggan peringkat negeri ini bertujuan mendekatkan lagi pihak kementerian dengan masyarakat supaya mereka mendapat maklumat yang jelas mengenai bantuan dan latihan yang ditawarkan.

"Mungkin ada pihak yang tidak tahu bahawa kementerian ini melibatkan enam jabatan dan fungsi kami adalah pelbagai untuk setiap golongan yang memerlukan bantuan," katanya selepas merasmikan program berkenaan kelmarin.

Program selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka bagi orang kurang upaya (OKU), pertandingan mewarna untuk OKU dan kanak-kanak, pertandingan karaoke serta tarian poco-poco.

Nik Omar bersyukur sambutan program tersebut amat menggalakkan dengan gerai-gerai pameran kementerian menjadi tumpuan orang ramai.

"Selain meningkatkan kerjasama dan kesepaduan program antara jabatan, program ini juga menjadi platform untuk menunjukkan kejayaan generasi penggerak bangsa iaitu kanak-kanak, belia dan OKU kepada masyarakat umum," katanya.

Dalam pada itu, Nik Omar berharap orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai khidmat kementerian agar menghubungi talian Nur di 15999.

"Talian Nur ini telah dua tahun beroperasi dan kami telah menerima sebanyak 15,000 panggilan dari seluruh negara.

"Rata-ratanya panggilan yang kami terima adalah berhubung masalah bantuan OKU, kes penderaan kanak-kanak atau keganasan rumah tangga," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JUN 2009

Tiada ulasan: