PENGUNJUNG SETIA

07 Julai 2009

RM416,000 BEKAL ELEKTRIK 24 JAM KAMPUNG AIR TAWAS

LEDANG: Walaupun penggunaannya cuma membabitkan 16 keluarga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar bagi memastikan penduduk di Kampung Air Tawas, di kaki Gunung Ledang di sini, turut menikmati bekalan elektrik seperti beberapa kampung berhampiran yang sudah menikmati kemudahan itu lebih awal.


Dengan peruntukan RM416,000 yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, penduduk kampung itu dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak Jumaat lalu.

Pengurus Besar TNB Johor, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata penduduk kampung berkenaan sudah lama memohon untuk mendapatkan bekalan elektrik, namun kedudukannya yang jauh di pedalaman selain jumlah penduduk yang kecil membuatkan pelaksanaan projek menyambung talian elektrik di kampung itu terpaksa ditangguhkan.

Beliau berkata, selepas menerima peruntukan kementerian itu, pihaknya tidak mengambil masa lama untuk menyediakan bekalan elektrik yang selama ini diharapkan penduduk.

"Kami mengambil masa hanya tiga minggu untuk menyediakan bekalan elektrik ke kampung ini dan mereka kini sudah boleh menikmati bekalan elektrik 24 jam mulai Jumaat lalu," katanya.

Bekalan elektrik 24 jam ke kampung Orang Asli itu dirasmikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, pada kunjungannya sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2009 Jelajah Pedalaman, semalam.

Pada majlis itu, Tunku Ibrahim, turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin selain menghadiahkan komputer untuk kegunaan penduduk kampung dan basikal kepada anak Orang Asli di kampung itu.

Sementara itu, ketua kampung berkenaan, Batin Minggek Achai, berkata mereka berterima kasih kepada semua pihak sehingga membolehkan kampung itu menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Minggek berkata, beliau cukup gembira kerana selama ini mereka hanya mampu melihat kampung lain diterangi cahaya lampu elektrik.

"Terima kasih kepada semua yang bersungguh-sungguh memberikan bekalan elektrik untuk kami dan terima kasih banyak-banyak kepada Tuanku, kerana kehadirannya membuatkan hidup kami kini semakin terang," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 7 JULAI 2009

Tiada ulasan: