PENGUNJUNG SETIA

25 Julai 2009

KES SMK TUN MAMAT MASIH DISIASAT

Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah

LEDANG: Jabatan Kesihatan negeri sedang berusaha mengesan punca sebenar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat dekat sini yang kini meningkat kepada 345 orang akibat mengalami simptom seperti sakit perut, cirit-birit serta pening kepala.
Walaupun 10 sampel makanan sudah diambil dari kantin sekolah untuk dianalisis di Johor Bahru, Jabatan berkenaan belum dapat mengaitkannya secara langsung dengan simptom yang dialami oleh pelajar terbabit.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman berkata siasatan masih lagi dijalankan memandangkan ada di antara pelajar yang terlibat dengan simptom tersebut tidak membeli makanan dari kantin sekolah malah ada yang sedang berpuasa ketika itu.

“Pelbagai aduan diterima mengenai perkara ini dan pihak Jabatan Kesihatan sedang mencuba mengenalpasti punca sebenar simptom ini.

“Simptom ini tiada kaitan dengan Influenza H1N1 (selsema babi),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika sidang media selepas majlis penyampaian Akhbar The Star untuk sekolah-sekolah daerah Ledang di dewan Sekolah Menengah Tengku Mahmood Iskandar, Sungai Mati, hari ini.

Abdul Ghani berkata Pejabat Pendidikan bertindak menutup sekolah berkenaan mulai hari ini sehingga isnin depan bagi meredakan keadaan dan sebagai langkah kawalan.

Sebelum ini, kantin sekolah itu diarahkan tutup berikutan 142 pelajar dan empat orang guru disyaki terlibat dengan kes keracunan makanan dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital pada rabu lalu.

SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY, 24 JULAI 2009

Tiada ulasan: