PENGUNJUNG SETIA

21 Julai 2009

JUARA PENGISAHAN KENEGARAAN PERINGKAT KEBANGSAAN DIRAI


TAHIR TAAT (empat dari kanan) memegang trofi kemenangan meraikan kejayaan anak watan Kampung Durian Condong menjadi juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan di Ledang baru-baru ini.

LEDANG 20 Julai - Kampung Durian Condong di sini bergegak gempita dalam satu temasya baru-baru ini bagi meraikan kejayaan tiga anak watan kampung berkenaan merangkul juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan.

Ketiga-tiga peserta yang mewakili Johor pada pertandingan akhir di Jitra, Kedah itu diarak di atas kenderaan pacuan empat roda sambil menjulang piala kemenangan dan sambutan turut dimeriahkan lagi dengan percikan bunga api.

Kejayaan peserta-peserta terbabit; Rohaina Sulaiman, Shamsul Saziman Abdul Razak dan Radin Azman Hanafi secara tidak langsung telah menyatukan para penduduk di dalam satu temasya bagi berkongsi rasa kebanggaan.

Malah, seekor lembu dan dua ekor kambing turut disembelih bagi majlis keraian tersebut yang turut diserikan dengan paluan kompang serta tarian zapin.

Ketua Kampung Durian Condong yang juga Pengerusi K-Bistari kampung berkenaan, Anuar Hamzah berkata, kejayaan ketiga-tiga anak kampungnya itu membuktikan anak luar bandar turut mempunyai bakat untuk diangkat.

''Saya rasa bukan sahaja Kampung Durian Condong, malah seluruh Johor turut berbangga dengan kejayaan ini.

''Sememangnya kami telah berusaha bersungguh-sungguh dan pelbagai pengorbanan telah dibuat untuk mencapai tahap ini," katanya yang ditemui pemberita di majlis keraian di sini baru-baru ini.

Menurut Anuar, pasukan dari kampungnya itu telah membawa penceritaan tragedi serangan komunis terhadap Bukit Kepong dan ia telah menyentuh perasaan para juri pertandingan.

''Di sini, kami ingin turut merakamkan rasa penghargaan terhadap pihak Muzium Bukit Kepong serta Polis Diraja Malaysia yang telah banyak membantu sehingga penceritaan tragedi ini menjadi lebih berkesan," katanya.

Majlis keraian tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli serta Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Johor, Hashim Bedu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 JULAI 2009

Tiada ulasan: