PENGUNJUNG SETIA

15 Julai 2009

KMJ BERI RAHMAT KEPADA PENDUDUK

JOHOR BAHRU 14 Julai - Penjelajahan Kembara Mahkota Johor (KMJ) ke 11 buah kampung Orang Asli ternyata membawa rahmat kepada penduduknya.

Ini kerana pada setiap persinggahan, penduduk miskin, warga emas dan kanak-kanak adalah antara golongan yang diberi perhatian selain daripada mengenal pasti pelbagai masalah yang dibangkitkan penduduk.

Ekspedisi tahunan yang diketuai oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar itu antaranya mendekati rakyat jelata.

Meskipun golongan berkenaan menerima sumbangan, namun mereka lebih gembira kerana berpeluang bertemu secara langsung dengan Tunku Mahkota dan putera-puteranya.

Bagi penduduk luar bandar, kunjungan kerabat diraja dan wakil rakyat serta ketua jabatan ke kawasan mereka ibarat satu pesta kerana secara tidak langsung ia mewujudkan ikatan ukhuwah.

Penduduk setempat akan berkumpul dan bergotong-royong menyediakan segala kelengkapan menyambut kehadiran rombongan KMJ.

Kembara yang mengambil masa selama 80 jam atau empat hari tiga malam itu bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat mengenali pemimpin secara dekat, malah ia juga adalah agenda penting kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof ketika berucap pada majlis penutupan KMJ berkata, penjelajahan itu turut meningkatkan imej institusi diraja yang prihatin kepada rakyat jelata.

"Menerusi program begini rakyat yang menetap di kawasan pedalaman dapat berbual dan mengenali kerabat diraja tanpa halangan.

"Bagi para peserta yang mengikuti program ini, pasti mempunyai nostalgia indah kerana berkesempatan melawat tempat yang belum pernah dikunjungi," katanya.

Menurutnya, penyertaan pegawai kerajaan dalam penjelajahan itu akan memberi ruang kepada mereka untuk melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan luar bandar dan potensi lain yang boleh dilakukan bagi memajukan lagi kawasan berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JULAI 2009

Tiada ulasan: