PENGUNJUNG SETIA

15 Julai 2009

MENDEKATI ORANG ASLI


Tunku Ibrahim Ismail (kiri) memerhatikan Tunku Abdul Rahman menyumpit belon ketika menyertai sukan rakyat sempena Kembara Mahkota Johor Jelajah Pedalaman 2009 di Kampung Bukit Panjang, Bukit Kepong, Muar, baru-baru ini. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID

JOHOR BAHRU 14 Julai - Bercerita mengenai percutian, pasti ramai memilih untuk bercuti di pusat peranginan atau destinasi pelancongan menarik dan jarang memilih kawasan pedalaman khususnya di Perkampungan Orang Asli.

Bagi penulis yang mengikuti Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 pada 4 hingga 7 Julai lalu, ia merupakan satu percutian penuh bermakna kerana dalam tempoh tersebut, berpeluang melawat 11 kampung Orang Asli yang terletak di 10 daerah di negeri ini.

Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Pasir Salam, Johor Bahru; Kampung Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi; Kampung Tanah Abang, Mersing; Kampung Sungai Peroh, Kluang; Kampung Segamat Kecil, Segamat; Kampung Air Tawas, Ledang; Kampung Bukit Panjang, Muar; Kampung Dalam, Parit Sulong, Batu Pahat; Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi; Kampung Sri Tanjung dan Kampung Nelayan, Pontian.

Memandangkan KMJ kali ini menjelajah kawasan pedalaman, semua peserta yang terdiri daripada pihak media dan ketua-ketua jabatan perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Rombongan yang diketuai oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan diiringi oleh tiga puteranya termasuk Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Idris dan Tunku Abdul Rahman perlu melalui 35 peratus jalan-jalan tidak bertar.

Dalam pada itu isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris turut hadir dalam KMJ beberapa hari terakhir sewaktu melalui perkampungan Orang Asli Pasir Salam.

Ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit, penulis terasa seperti menaiki 'roller coster' dan kami juga terpaksa berhati-hati sewaktu menuju ke Kampung Segamat Kecil kerana jalan tanah merah yang licin akibat hujan.

Perjalanan yang jauh dan kurang selesa itu tidak mematahkan semangat untuk terus mengikuti kembara hingga ke hari terakhir, sebaliknya ia menginsafkan.

Penulis bersyukur kerana membesar di persekitaran yang serba moden berbanding penduduk di kawasan pedalaman yang masih lagi bergelap dan menggunakan air lombong untuk kegunaan harian seperti di Kampung Orang Asli Pasir Salam.

Meskipun Orang Asli hidup di kawasan pedalaman, mereka tetap kaya dengan budi bahasa dan tidak kurang juga ada yang malu untuk ditemu bual.

Semasa di Kampung Orang Asli Pasir Salam yang dihuni etnik suku Seletar seramai 149 orang, penulis baru tahu bahawa kaum wanita turut menjadi nelayan.

Rupa-rupanya secara tradisi, Orang Asli Seletar bergantung kepada hasil laut sebagai sumber rezeki dan Selat Johor telah menjadi begitu sinonim dengan kehidupan mereka.

Pada usia 15 tahun, Linda Bowen yang sudah memeluk agama Islam sejak dua tahun lalu, terpaksa menggadai nyawa di tengah laut setiap hari demi mencari rezeki membantu keluarganya.

"Saya belajar setakat sekolah rendah saja. Tugas saya hari-hari pergi ke laut seawal pukul 6 pagi dan pulang pukul 12 tengah hari. Pergi ke laut ini tidak menentu, adakalanya saya dapat banyak hasil seperti ketam dan ikan, kadang-kadang tidak dapat apa-apa.

"Paling banyak saya boleh dapat empat kilogram ketam dan kalau jual di Teluk Sengat, dapatlah sekitar RM20 hingga RM50. Itupun bukannya selalu dapat," kata anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, Ita Chok, 29, setiap hari pergi ke laut ditemani anaknya yang berusia setahun dengan menggunakan bot fiber untuk mencari rezeki.

"Saya pergi dengan anak dan suami saya pun pergi ke laut juga. Tangkapan saya diguna untuk kegunaan rumah, sementara hasil tangkapan suami dijual untuk pendapatan," katanya.

Walaupun kampung tersebut letaknya 20 kilometer (km) dari jalan utama, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka kerana di kawasan itu telah dibina empat unit perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan lima unit perumahan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Sementara itu, Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi yang terletak 25 km dari bandar Kota Tinggi dan 15km dari Tanjong Sedili dilihat lebih membangun.

Kampung ini didiami oleh suku kaum Kanaq seramai 86 orang yang beragama Islam.

Mengikut sejarah, kaum yang semakin pupus ini berasal dari kepulauan Riau dan berhijrah ke selatan Semenanjung Tanah Melayu kira-kira 200 tahun dahulu.

Pada hari ketiga, KMJ bermalam di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi yang mempunyai 205 penduduk terdiri daripada suku Jakun.

Di sini, penulis berpeluang berkenalan dengan beberapa kanak-kanak dan ternyata generasi baru masyarakat Orang Asli sudah berubah seiring dengan pembangunan.

Memandangkan kampung ini ada bekalan elektrik dan air, maka kanak-kanaknya sudah terdedah dengan dunia luar menerusi saluran televisyen dan radio.

Kanak-kanak tersebut tahu lagu-lagu popular masa kini dan apabila rakan penulis menguji mereka dengan soalan Matematik dalam Bahasa Inggeris, nyata mereka mampu menjawab dengan tepat.

Justeru, masyarakat luar tidak boleh lagi memandang sebelah mata pada Orang Asli kerana ada juga antara mereka sudah berjaya.

Apa pun KMJ yang berakhir di Dataran Majlis Daerah Pontian, Benut telah meninggalkan kenangan manis kepada penulis kerana berpeluang mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JULAI 2009

Tiada ulasan: