PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2009

GUNA 'QURBAN' BUKAN 'KORBAN'

SEREMBAN 7 Julai - Umat Islam disaran supaya menggantikan istilah 'korban' yang digunakan secara meluas pada masa ini kepada 'qurban'.

Mufti kerajaan negeri, Datuk Mohd. Yusuf Ahmad berkata, istilah 'qurban' adalah lebih tepat digunakan dalam konteks ibadah berkenaan yang dilakukan oleh umat Islam pada Hari Raya Aidiladha.

Katanya, 'qurban' berasal dari perkataan Arab yang bermaksud 'taat dan patuh dalam usaha untuk mendampingkan diri dengan Allah.

''Manakala perkataan 'korban' adalah lebih sesuai digunakan bagi menggambarkan mangsa-mangsa yang maut dalam tragedi seperti kemalangan jalan raya, peperangan atau bencana alam,'' jelasnya.

Mohd. Yusuf berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Ibadah Korban Menurut Perspektif Islam di Pusat Dakwah Islamiah Paroi dekat sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Shahrizan Ibrahim.

Lebih 300 imam, nazir dan ahli jawatankuasa masjid di sekitar negeri ini menghadiri seminar anjuran JHEAINS itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, haiwan-haiwan yang digunakan dalam ibadah 'qurban' perlu memiliki kualiti terbaik dan diketahui asal-usulnya.

''Sebagai contoh, lembu yang bakal disembelih pada Hari Raya Aidiladha hendaklah dipastikan tidak memiliki sebarang kecacatan serta tidak dicuri," katanya.

Menurut Mohd. Yusuf lagi, adalah lebih afdal jika haiwan-haiwan tersebut dibeli daripada penternak-penternak yang beragama Islam.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 JULAI 2009

Tiada ulasan: