PENGUNJUNG SETIA

02 Julai 2009

RM78.6j ZAKAT DIAGIH 2008

NUSAJAYA 1 Julai - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) telah mengagihkan wang kutipan zakat berjumlah RM78.6 juta kepada lapan asnaf pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pengagihan zakat tersebut dikategorikan kepada beberapa skim bantuan untuk diberikan kepada umat Islam yang memerlukan.

Menurutnya, antara jenis bantuan yang diberikan pada tahun lalu adalah bantuan sara hidup bulanan, Hari Raya, perubatan dan hemodialisis, pelajaran serta perumahan.

"Mengikut rekod yang diperoleh, daripada jumlah itu RM23.86 juta dibelanjakan bagi tujuan bantuan utama kepada 56,857 penerima," katanya menjawab soalan Datuk Dr. Adham Baba (BN-Pasir Raja) pada persidangan DUN di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, sebanyak 116 Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah ditubuhkan di negeri ini sejak ia diperluaskan ke seluruh negara pada 2004.

Beliau berkata, selaras dengan keberkesanan skim berkenaan, setiap SRS yang ditubuhkan akan menerima peruntukan RM2,500 untuk membeli peralatan seperti pakaian, lampu suluh, kayu cota, wisel dan peti kecemasan.

"Selain itu, sebagai menghargai usaha peronda SRS, kerajaan telah menyediakan Skim Perlindungan Berkelompok," katanya semasa menjawab soalan Lim Kee Moi (BN-Yong Peng).

Katanya, skim perlindungan insurans tersebut merangkumi kematian, keilatan kekal dan menyeluruh, elaun harian hospital, perbelanjaan perubatan dan khairat kematian.

Beliau memaklumkan bahawa satu kawasan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) boleh memohon untuk menubuhkan lebih daripada satu SRS berdasarkan keluasan KRT tersebut.

"Syarat tersebut dibuat supaya tidak berlaku pertindihan fungsi dan tanggungjawab dengan badan-badan keselamatan yang lain," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 JULAI 2009

Tiada ulasan: