PENGUNJUNG SETIA

15 Julai 2009

YWJ RANCANG STRATEGI KEMBANGKAN SILAT SENDENG

TANGKAK: Seni silat sendeng dipilih sebagai seni silat rasmi Johor dan serentak dengan itu kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) merancang strategi pengembangan seni silat itu ke seluruh negeri ini dan negeri lain.


Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pemilihan seni silat itu dibuat berikutan ia diasaskan dan dilahirkan di Johor dan mempunyai identiti negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mahu mengetengahkan lagi seni silat sendeng itu seperti juga usaha membangunkan seni tari zapin yang kini berjaya menjadi tarian dengan identiti dan jati diri Johor.

"Seni silat sendeng adalah kepunyaan rasmi Orang Melayu Johor kerana diasaskan dan dilahirkan di negeri ini 54 tahun lalu oleh anak jati Johor di Bukit Kangkar, dekat Sungai Mati yang terletak di daerah Ledang iaitu di kawasan saya sendiri.

"Oleh itu adalah wajar kerajaan negeri mengangkat perguruan seni silat itu sebagai silat rasmi negeri Johor kerana silat itu dewasa dan mantap daripada segi sejarah, kurikulum pembelajaran, undang-undang pertubuhan serta garis panduan persilatan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Silat Sendeng di Dataran Ledang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Asiah Md Ariff; Pengarah YWJ, Jama Johan; Guru utama Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia, Ismail Saidin dan Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia Peringkat Johor, Ahmad Nazari Abd Hamid.

Seramai 1,000 pesilat berusia semuda lima tahun hingga 80 tahun dari seluruh negeri ini berkumpul dalam perhimpunan itu.

Pada majlis yang sama Abdul Ghani turut melancarkan buku bertajuk Seni Silat Sendeng Sejarah dan Kurikulum Pembelajaran yang ditulis Pegawai Sejarah YWJ, Kamdi Kamil.

SUMBER: BERITA HARIAN, 15 JULAI 2009

Tiada ulasan: