PENGUNJUNG SETIA

25 Julai 2009

SISIPAN AKHBAR BANTU KUASAI BAHASA INGGERIS

Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah

LEDANG: Bantuan alat pengajaran dan pembelajaran menggunakan sisipan akhbar didapati berjaya membantu guru dan pelajar untuk membuat latih tubi bagi menguasai bahasa Inggeris.
Ketua Bidang Bahasa Sekolah Menengah Tengku Mahmood Iskandar, Sungai Mati merangkap guru bahasa Inggeris, Rohmizan Abd Manap mendapati kaedah itu berkesan sepanjang pengalamannya mengajar matapelajaran berkenaan.

“Pelajar boleh membuat latih tubi daripada sisipan akhbar ini dan mereka sangat seronok dengan pendekatan ini sekaligus berupaya mempertingkatkan lagi penggunaan tatabahasa yang betul.

“Selain itu, ia juga dapat melahirkan generasi yang suka membaca dan mengambil tahu tentang perkembangan semasa,” katanya selepas majlis penyampaian Akhbar The Star untuk sekolah-sekolah daerah Ledang oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmood Iskandar, Sungai Mati, dekat sini.

Bagi seorang pelajar sekolah itu, Ridzwan Arif Zakaria, 16, berkata program berkenaan amat membantu dan memberi peluang kepada pelajar untuk membaca akhbar berbahasa Inggeris sekaligus mempertingkatkan keupayaan dalam bahasa itu.

Pendapat sama dikongsi oleh seorang pelajar tingkatan satu, Foo Zhi Qian yang yakin dengan kaedah pembelajaran melalui akhbar mampu membantu dirinya dan rakan-rakan untuk mendalami bahasa Inggeris.

Program NIE, The Star ini sudah dilaksanakan sejak 12 tahun lalu dengan sisipannya diterbitkan empat kali sebulan pada setiap hari rabu merangkumi matapelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Melalui program ini, sebanyak 25,000 naskah akhbar The Star diedarkan kepada 80 bah sekolah di Ledang.

SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY, 24 JULAI 2009

Tiada ulasan: