PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2009

KEMBARA MAHKOTA JOHOR CAPAI MATLAMAT


TUNku Ibrahim Ismail melawat pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika Kemas Benut di Kampung Nelayan Benut, Pontian pada Program Kembara Mahkota Johor, Jelajah Pedalaman 2009 di Johor, semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

PONTIAN 7 Julai - Penjelajahan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail menerusi Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 yang berakhir hari ini, berjaya mencapai matlamatnya dalam menyelami masalah penduduk.

Antara masalah tersebut ialah keluhan penduduk tentang kemudahan jalan raya yang masih belum berturap di kampung mereka, isu kemiskinan dan pelbagai masalah lagi.

Program yang mengambil masa selama empat hari tiga malam itu juga berjaya merapatkan hubungan antara penduduk dengan istana yang selama ini cuma dilihat di kaca televisyen dan dada akhbar sahaja.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, rombongan KMJ telah merentasi 10 daerah di negeri ini termasuk 11 perkampungan Orang Asli dengan jarak perjalanan sejauh 1,030 kilometer.

Hari ini, Tunku Mahkota turut melawat Kampung Sri Muar, Kulaijaya; Kampung Sri Tanjung, Pontian dan Kampung Nelayan, Benut, sebelum ke Dataran Majlis Daerah Pontian untuk majlis penutup.

Sewaktu di Kampung Sri Muar, Tunku Mahkota berkenan menamakan jenama produk industri kecil dan sederhana (IKS) makanan tempatan yang dihasilkan dari kampung tersebut dengan nama Sri Kembara.

Malah kehadiran rombongan Tunku Mahkota yang diiringi tiga puteranya ke kampung tersebut, turut membawa rahmat kepada Jamil Abu Rahim, 51, yang mendapat sumbangan bantuan rawatan hemodialisis daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebanyak RM2,200 sebulan.

Di setiap lokasi yang disinggahi Tunku Mahkota, penduduk miskin akan menerima bantuan antaranya baik pulih atau membina rumah, basikal dan beg sekolah kepada para pelajar dan beberapa sumbangan lain.

Pada acara penutupan di Dataran Majlis Daerah Pontian di sini, Tunku Mahkota telah melepaskan 50 ekor burung merpati dan belon ke udara sebagai simbolik tamatnya jelajah tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof ketika berucap pada majlis tersebut berkata, program yang disertai ketua-ketua jabatan itu kini menjadi agenda penting bagi kerajaan negeri dan sekali gus meningkatkan imej institusi diraja.

"Menerusi program begini rakyat yang menetap di kawasan pedalaman dapat berbual dan mengenali kerabat diraja tanpa halangan.

"Bagi para peserta yang mengikuti program ini, pasti mempunyai nostalgia indah kerana berkesempatan melawat tempat yang belum pernah dikunjungi," katanya.

Menurutnya, penyertaan pegawai kerajaan dalam penjelajahan itu akan memberi ruang kepada mereka untuk melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan luar bandar dan potensi lain yang boleh dilakukan bagi memajukan lagi kawasan berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 JULAI 2009

Tiada ulasan: