PENGUNJUNG SETIA

02 Julai 2009

KENAIKAN 'MELAMPAU' PUNCA MOTOSIKAL LUAR BANDAR TIADA INSURANS

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kadar premium insurans lebih mahal daripada motosikal! Keadaan itu kini dihadapi rakyat khususnya penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah ekoran tindakan syarikat-syarikat insurans menaikkan premium insurans pihak ketiga sehingga 200 peratus.

Jadi tidak hairanlah apabila kebanyakan kenderaan khususnya motosikal di kampung-kampung tidak mempunyai insurans.

''Jika dulu mereka hanya membayar RM100 tetapi selepas premium naik, mereka perlu bayar RM400," kata Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Ledang, Ir. Hamim Samuri ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara 2009 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau justeru menggesa kerajaan bertindak segera menangani perkara itu yang menyebabkan hidup rakyat khususnya penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah semakin terbeban.

Menurutnya, sebahagian besar penduduk luar bandar mengambil polisi insurans pihak ketiga untuk kenderaan dan sudah tentu kenaikan yang melampau membuatkan kehidupan mereka semakin tertekan.

''Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, syarikat insurans tidak harus menaikkan polisi insurans pihak ketiga kerana ia membebankan rakyat. Hidup rakyat kini susah, janganlah kita menambahkan lagi beban mereka," tegasnya.

Hamim percaya langkah terbaru yang dilakukan oleh syarikat-syarikat insurans itu adalah untuk mengaut keuntungan dan beliau mahu ia dikawal dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan.

''Peraturan mewajibkan semua pemilik kenderaan memiliki insurans harus dikawal selia agar tidak ada syarikat-syarikat insurans ini yang sewenang-wenangnya mengaut untung," katanya.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika membahaskan rang undang-undang sama berkata, ia akan menjadi antara punca Barisan Nasional (BN) sukar mendapat sokongan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini.

''Kenaikan insurans ini menjadi isu yang cukup hangat di kampung sebab yang terbabit ialah pemilik motosikal. Kadar premium lebih mahal daripada harga motosikal sebab motosikal sudah buruk.

''Ini boleh menyebabkan pemilik motosikal di Manek Urai sukar untuk memberi undi kepada BN. Terus terang saya beritahu kerana ini perkara yang nyata dan jelas," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 JULAI 2009

Tiada ulasan: