PENGUNJUNG SETIA

04 Julai 2009

PENGEMBARAAN 1,030KM BERMULA

Oleh Azman Zakaria
azmanz@bharian.com.my

150 peserta naiki 40 kenderaan 4WD akan bermalam di Tanah Abang

JOHOR BAHRU: Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 selama empat hari, yang diketuai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail, bermula hari ini, meliputi jarak pengembaraan sejauh 1,030 kilometer (km) melalui semua 10 daerah di negeri ini.

Pada hari pertama kembara, rombongan yang terdiri daripada kira-kira 150 peserta yang menaiki 40 kenderaan pacuan empat roda (4WD) itu akan melalui perjalanan sejauh kira-kira 250 km bermula di Bukit Timbalan di sini, dan bermalam di perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Mersing.

Program berkonsepkan pengembaraan 4WD yang turut disertai anakandanya, Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim itu akan melawat 11 kampung Orang Asli dan tiga kampung tradisi.

Tunku Mahkota berkata, persiapan untuk KMJ Jelajah Pedalaman 2009 itu sudah dilakukannya sejak enam bulan lalu termasuk mengubah suai kenderaan untuk jelajah itu.

Beliau berkata, keperluan logistik juga sudah dilakukan dan beliau sebenarnya tidak sabar lagi untuk menjayakan KMJ itu.

Katanya, beliau juga sudah membentangkan program KMJ itu kepada ayahandanya Sultan Johor, Sultan Iskandar.

"Tuanku sentiasa mengambil berat perjalanan saya bersama KMJ ini," katanya.

KMJ itu antara lain membawa mesej mengenai pemuliharaan hidupan liar di negeri ini, dengan mendekati terutama masyarakat Orang Asli yang segelintir daripada mereka terbabit membantu pemburu haram.

Tunku Mahkota juga akan mendengar permasalahan dan melihat sendiri pembangunan di kawasan pedalaman, khususnya di kampung Orang Asli dengan pegawai jabatan dan agensi kerajaan yang mengikuti KMJ akan mencatatkan permasalahan yang disampaikan masyarakat terbabit.

"Sepanjang perjalanan KMJ ini, mungkin saya akan berhenti dan turun menemui penduduk di satu-satu tempat yang tidak termasuk dalam jadual. Oleh itu, jika masa ketibaan saya di satu-satu tempat itu 'lari' sedikit, saya harap penduduk bersabar.

"Saya tidak akan dapat melawat dan singgah di semua kampung di pedalaman dan kampung Orang Asli melalui KMJ ini. Insya-Allah, saya akan sampai kemudian," katanya.

Rombongan KMJ itu dijangka melalui kira-kira 35 peratus jalan tidak bertar (offroad) dengan mengambil masa selama kira-kira 80 jam sebelum majlis penutupnya, di Kampung Nelayan, Benut, Pontian, pada Selasa depan.

Selepas perjalanan sejauh kira-kira 250 km pada hari pertama, perjalanan hari kedua meliputi jarak 317 km, hari ketiga (298 km) dan hari keempat (165 km).

SUMBER: BERITA HARIAN, 4 JULAI 2009

Tiada ulasan: