PENGUNJUNG SETIA

11 Julai 2009

LIMA LELAKI DIDAKWA CULIK WANITA


LIMA tertuduh dibawa masuk ke Mahkamah Majistret atas tuduhan menculik seorang wanita di Tangkak, Johor, semalam.

LEDANG 10 Julai - Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik isteri seorang ahli perniagaan bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM1 juta, bulan lalu.

Al-Hadi Tukiman, 35, Norizal Md. Ali, 27, Chew Ern Tik, 29, Muhamad Taharil Abd. Jalil, 19, dan Woon Soon Teck, 23, didakwa menculik wanita berusia 55 tahun itu di Jalan Tanah Merah, Jalan Dagang Sungai Belemang, Sungai Mati di sini kira-kira pukul 6 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lydiana Mansor, semua tertuduh kelihatan tenang.

Namun tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menetap tarikh sebutan kerana pihaknya belum mendapat laporan nombor siri wang tebusan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Lydiana menetapkan 28 September ini sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, Norizal dan Muhamad Taharil masing-masing turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol semasa ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IP) Ledang pada pukul 1 tengah hari 29 Jun lalu.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lydiana turut menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semula kes terhadap mereka berdua.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, pasukan polis dilaporkan berjaya memberkas enam suspek warga tempatan kerana menculik seorang wanita berusia 55 tahun di Sungai Mati Ledang, Muar, pada 22 Jun lalu.

Polis juga berjaya menemui semula wang tunai berjumlah RM566,976 dipercayai sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa.

Bagaimanapun, mangsa dibebaskan pada 26 Jun lalu. Tidak sampai 24 jam selepas dia dibebaskan, polis memberkas lima daripada enam penjenayah terbabit.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 JULAI 2009

Tiada ulasan: