PENGUNJUNG SETIA

05 Julai 2009

KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2009 BERMULA

JOHOR BAHRU 4 Julai - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2009 Jelajah Pedalaman memulakan pengembaraannya hari ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman melepaskan kembara tersebut selepas bacaan doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin dari Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini semalam.

Abdul Ghani berkata, program itu merupakan kaedah terbaik menjalin hubungan baik antara pihak istana, kerajaan dan rakyat jelata.

"Pelbagai aktiviti akan diadakan seperti program bantuan kebajikan, kesukanan, pendidikan, kebudayaan dan pemuliharaan alam sekitar.

"Saya harap rakyat akan mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dengan Tunku Mahkota," katanya ketika berucap pada majlis pelepasan KMJ 2009 Jelajah Pedalaman di sini hari ini.

Program yang diketuai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail itu disertai 150 peserta dan lebih 50 kenderaan pacuan empat roda.

Sepanjang kembara, rombongan yang terdiri daripada wakil rakyat dan pegawai kerajaan itu menjelajah ke kawasan pedalaman di semua 10 daerah di negeri ini.

Sebanyak 11 perkampungan Orang Asli dan tiga kampung tradisi akan dilawati, antaranya kawasan Tadahan Air; Gunung Ledang; Tangkak dan Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.

KMJ 2009 Jelajah Pedalaman akan mengambil masa kira-kira 80 jam atau empat hari tiga malam.

Majlis penutupannya akan diadakan pada 7 Julai ini di Kampung Nelayan, Benut, Pontian.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 5 JULAI 2009

Tiada ulasan: