PENGUNJUNG SETIA

01 Julai 2009

KUMPULAN 6 PENCULIK TIDAK SEMPAT BELANJAKAN SEMUA WANG TEBUSAN

JOHOR BAHRU 30 Jun - Tidak sampai 24 jam seorang mangsa culik dibebaskan Jumaat lalu, polis dapat memberkas lima daripada enam penjenayah terbabit dan menemui semula wang tebusan RM566,976.

Bagaimanapun kesemua penjenayah itu sempat membelanjakan kira-kira RM83,000 daripada RM650,000 wang tebusan yang dibayar oleh keluarga mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mangsa yang berusia 55 tahun sebelum itu diculik ketika beriadah, kira-kira pukul 6.30 petang di kawasan Serom 8, Sungai Mati Ledang, Muar, pada 22 Jun lalu.

Katanya, kumpulan penculik itu termasuk seorang wanita warga asing kemudian menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut wang tebusan RM1 juta.

"Keluarga mangsa membayar wang tebusan sebanyak RM650,000 dan mangsa dibebaskan Jumaat lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat telah menubuhkan satu pasukan khas dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah negeri pada hari mangsa dibebaskan.

Katanya, hasil maklumat dan risikan, pihaknya memberkas lima lelaki tempatan berusia antara 19 dan 35 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun pada hari sama.

"Susulan penahanan itu, polis berjaya menemui semula sebahagian wang tebusan berjumlah RM566,976.

"Hasil siasatan mendapati salah seorang daripada suspek lelaki yang ditahan pernah dipenjara selama setahun bagi kes pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1991.

Katanya, pihaknya kini mencari seorang lelaki bernama Chew Ern Tik, bernombor kad pengenalan 700824-01-5553 bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian hotline 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 1 JULAI 2009

Tiada ulasan: