PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2009

BERSIHKAN TANJUNG KETAPANG


ABDUL Wahab Ridwan menunjukkan sampah di sebuah jeti di kawasan rekreasi Tanjung Ketapang, Muar, baru-baru ini.

MUAR 19 Julai - Pengunjung di kawasan rekreasi Tanjung Ketapang di sini didapati tidak menjaga kebersihan apabila membuang sampah merata-rata sehingga mencacatkan keindahan pesisiran pantai hutan bakau itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sampah-sarap seperti plastik makanan ringan bertaburan di sebahagian kawasan rekreasi berkenaan.

Keadaan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan pemandangan di kawasan yang menjadi tarikan di bandar ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abdul Wahab Ridwan ketika mengulas perkara itu mengakui kesal dengan sikap pengunjung yang mengabaikan tahap kebersihan di kawasan rekreasi itu.

"Masalah ini tidak sepatutnya timbul kerana MPM telah menyediakan tong sampah yang mencukupi untuk para pengunjung.

"Malah, kami juga telah menggunakan rekaan tong sampah yang tidak dapat diselongkar oleh kumpulan kera di kawasan itu," katanya.

Beliau memberitahu, kesedaran masyarakat untuk menjaga kebersihan di kawasan awam perlu ditingkatkan supaya mereka meninggalkan tabiat membuang sampah merata-rata.

''Perkara ini berkait rapat dengan imej bandar Muar dan kita semua mahu industri pelancongan di bandar ini terus berkembang dan tidak terjejas kerana masalah ini," ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 JULAI 2009

Tiada ulasan: