PENGUNJUNG SETIA

19 Julai 2009

KUASAI BAHASA MENERUSI SASTERA - MB

JOHOR BAHRU 18 Julai - Usaha menguasai sesuatu bahasa mesti dilakukan melalui penggunaan bahasa itu dalam mata pelajaran kesusasteraan, bukan menerusi mata pelajaran berbentuk teknikal.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ini kerana bahasa dalam kesusasteraan digunakan setiap hari dan berupaya menggambarkan perasaan serta pemikiran yang tidak dapat diwakili oleh angka dan statistik.

"Bahasa dalam kesusasteraan bukan sahaja menimbulkan keindahan tetapi juga keseronokan kerana apa yang dipaparkan adalah mainan perasaan dan pemikiran daripada pengalaman serta imaginasi penulis.

"Sebab itu, untuk dapat menguasai sesuatu bahasa ia tidak mungkin dapat dilakukan dengan berkesan melalui mata pelajaran teknikal," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim Ketujuh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Beliau turut melancarkan antologi Kidung Akarku yang menghimpunkan karya Hadiah Sastera Darul Ta'zim Keenam.

Pada bahagian pendahuluan antologi itu, Abdul Ghani berkata, kaedah mempelajari bahasa Inggeris di sekolah perlu diperkukuhkan bagi menguasai bahasa itu.

Jelasnya, negara seperti Denmark, Sweden dan Finland turut menggunakan bahasa mereka sendiri di sekolah dan universiti, namun dalam masa sama pelajar di negara tersebut dapat menguasai bahasa Inggeris.

Beliau turut menyentuh kepentingan bahasa ibunda dalam membangunkan tamadun dan teknologi dengan menyingkap sejarah ketika Eropah bangkit daripada zaman kegelapan melalui ilmu yang ditimba di pusat tamadun Islam seperti di Baghdad.

"Pengkaji Eropah belajar bahasa Arab dan membawa pulang semua ilmu tersebut untuk diterjemahkan ke dalam bahasa masing-masing.

"Mereka membangunkan tamadun dan teknologi yang berasaskan bahasa Arab tetapi tidak menyebarkannya kepada bangsa mereka dalam bahasa Arab," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 19 JULAI 2009

Tiada ulasan: