PENGUNJUNG SETIA

02 Julai 2009

KERAJAAN PERLU TEGAS ELAK BANK GUNA CTOS

KUALA LUMPUR 1 Julai - Seorang Ahli Parlimen hari ini menggesa kerajaan bertegas melarang bank di negara ini menggunakan khidmat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) untuk membuat semakan mengenai status pemohon pinjaman.

Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang) berkata, kebanyakan data di dalam CTOS tidak dikemas kini dan kredibilitinya boleh dipertikaikan kerana boleh menyebabkan pemohon pinjaman teraniaya.

"Walaupun saya difahamkan arahan daripada kerajaan supaya bank tidak merujuk 100 peratus kepada CTOS tetapi bank-bank tempatan mudah membuat keputusan sama ada melewatkan atau menggagalkan pinjaman seseorang hanya kerana nama pemohon ada dalam CTOS," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi kini, ia akan menjejaskan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi memandangkan ramai orang khususnya peniaga kecil sukar mendapat pinjaman bank.

"Ini menyusahkan, saya minta ketegasan dan tindakan yang pantas supaya CTOS tidak menjadi keutamaan kepada bank, lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang ketika kita hendak mempercepatkan proses pemulihan ekonomi, menggandakan ekonomi hasil jualan rumah tapi beri pinjaman lambat," katanya.

Hamim turut menggesa Kementerian Kewangan mengetatkan syarat dan kriteria bagi permohonan kad kredit.

"Saya difahamkan 10 peratus daripada pemegang kad kredit terdiri daripada anak muda berumur di bawah 25 tahun yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan mereka ini boleh diisytiharkan bankrap kerana gagal menjelaskan hutang tertangguh," katanya. - BERNAMA.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 JULAI 2009

Tiada ulasan: