PENGUNJUNG SETIA

01 Julai 2009

KEMPUNAN JOLI RM650,000

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin dan Zalifah Mohd Yatim
rudy@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Mereka menyangka mampu berjoli sakan dengan wang tebusan RM650,000 selepas menculik isteri seorang ahli perniagaan di Ledang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila enam anggota geng penculik itu diberkas seorang demi seorang dalam tempoh tidak sampai 12 jam.

Penahanan suspek, termasuk seorang wanita warga Vietnam itu turut menemui semula wang tebusan RM557,000 dalam beberapa serbuan di sekitar daerah berkenaan oleh anggota polis daripada pasukan khas yang ditubuhkan.

Terdahulu, mangsa berusia 55 tahun itu yang juga suri rumah diculik ketika beriadah sambil menunggang basikal bersama sepupunya di kawasan Serom 8, Sungai Mati, Ledang, kira-kira jam 6.30 petang pada 22 Jun lalu.

Tiba-tiba, isteri kepada seorang ahli perniagaan itu ditarik masuk ke dalam sebuah kenderaan yang menghampirinya sebelum memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Difahamkan, sepupu mangsa yang berada beberapa meter di depan terpaksa terjun ke dalam sebuah parit di tepi jalan untuk menyelamatkan diri sebelum lari bagi mendapatkan bantuan orang ramai berdekatan.

Penculik keesokannya menghubungi keluarga wanita berkenaan bagi meminta wang tebusan RM1 juta sekiranya mahu mangsa dibebaskan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata keluarga mangsa bagaimanapun membayar RM650,000, kira-kira jam 4.30 pagi Jumaat sebelum mangsa yang ditahan selama empat hari itu dibebaskan dalam keadaan selamat.

Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, Jabatan Siasatan Jenayah negeri menubuhkan satu pasukan khas sebelum menahan enam orang yang berusia antara 19 dan 35 tahun, termasuk seorang wanita Vietnam dalam serbuan di sekitar daerah Ledang, kira-kira jam 4.30 petang pada hari mangsa dibebaskan.

“Dalam serbuan itu, kami menemui semula wang tunai RM556,976 yang dipercayai baki daripada jumlah wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa kepada kumpulan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Mokhtar berkata, pihaknya kini menahan reman keenam-enam suspek terbabit selama tujuh hari berakhir Jumaat ini dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1991 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal ke atas suspek juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan dikenakan hukuman penjara setahun.

“Kami juga meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang lelaki, Chew Ern Tik, 39, bernombor kad pengenalan 700824-01-5553 untuk membantu siasatan berhubung kejadian culik berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menyalurkan terus ke talian hotline IPK Johor 07-2212999 atau balai polis berhampiran.

SUMBER: HARIAN METRO, 1 JULAI 2009

Tiada ulasan: