|
|
Bantuan yang dihulurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat itu disampaikan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Kompleks Seri Pekembar Pagoh dekat sini semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Jaffar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Banjir Daerah; Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Dr. Shaharuddin Md. Salleh.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam ucapannya meminta semua agensi, khususnya jabatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mempercepatkan khidmat penyampaian kepada masyarakat agar rakyat mendapat manfaat daripadanya.
Menurutnya, agensi-agensi terbabit perlu bergerak pantas menyalurkan segala bantuan dan maklumat yang disampaikan menerusi Kerajaan Persekutuan khususnya mereka yang ditimpa bencana atau kesusahan.
"Semua agensi kerajaan perlu komited dalam sistem penyampaian kepada rakyat kerana kita tidak mahu rakyat tertunggu-tunggu bantuan yang diperlukan oleh mereka.
"Kita sebagai agensi kerajaan perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa bantuan yang diberikan itu adalah ikhlas bagi meringankan beban mereka yang ditimpa masalah," katanya.
Dalam pada itu katanya, kesemua mangsa banjir yang menghadapi bencana itu hanya menerima bantuan tersebut semalam disebabkan oleh masalah yang dihadapi oleh agensi terbabit untuk mengenal pasti keluarga yang benar-benar terlibat.
"Kita tidak salahkan mana-mana pihak, tetapi saya dapati ia terlewat kerana pelbagai urusan perlu dilakukan termasuk mengenal pasti, mengesan keluarga dan menyenaraikan mereka.
"Tetapi, bantuan ini agak lewat kerana sudah hampir setahun, namun saya menggesa jabatan terlibat supaya mencari jalan yang lebih pantas untuk menyalurkan bantuan ini pada masa akan datang," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan