PENGUNJUNG SETIA

12 Disember 2008

TIADA PEMBANGUNAN TANAH TINGGI DI JOHOR

MUAR 11 Dis. - Johor tidak pernah membenarkan sebarang aktiviti pembangunan dilaksanakan di kawasan tanah tinggi atau di lereng-lereng bukit di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata, semua pembangunan atau penempatan penduduk di negeri ini dijalankan di kawasan tanah rata yang luas di negeri itu.

"Di Johor, tidak ada pembangunan di kawasan tanah tinggi kerana negeri ini mempunyai permukaan bumi yang rata seperti di Muar dan Tangkak.

"Walaupun di Tangkak terdapat Gunung Ledang, tiada pembangunan dan pendudukan dilaksanakan di situ dan disebabkan tumpuan pembangunan lebih kepada kawasan tanah rata, kita tidak terdedah dengan kejadian tanah runtuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi banjir di Kampung Paya Kepong dan Kampung Seri Maamor Tangkak, dekat sini malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir.

Abdul Ghani diminta mengulas langkah Kerajaan melarang sepenuhnya sebarang bentuk pembangunan dan projek perumahan di kawasan lereng dan puncak bukit yang berisiko tinggi di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin menegaskan, selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, kerajaan tidak akan memberi sebarang kelulusan kepada mana-mana pemaju perumahan yang ingin membina projek di kawasan tanah tinggi.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Sabtu lalu tidak berulang.

Tragedi tersebut mengorbankan empat orang, manakala 14 lagi cedera setelah 14 banglo di kawasan seluas empat hektar di Taman Bukit Mewah ranap selepas berlaku kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 3.50 pagi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: