PENGUNJUNG SETIA

01 Disember 2008

PENJENAYAH SAMUN RUMAH DIBERKAS

MUAR 30 Nov. - Seorang daripada tiga penjenayah dipercayai warganegara Indonesia yang baru menyamun barang kemas dan wang tunai bernilai RM2,000 dari sebuah rumah di Kampung Parit Kasan, dekat sini berjaya ditangkap polis di Serom 8, awal pagi semalam.

Ketiga-tiga penjenayah itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja dikejar oleh polis yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan itu sejauh 5 kilometer sebelum kenderaan mereka berjaya dihalang dan terbabas di bahu jalan.

Salah seorang daripada penjenayah terbabit berjaya diberkas namun dua lagi melarikan diri dan polis kini giat mengesan kedua-dua suspek tersebut.

Penjenayah terbabit sebelum itu memecah masuk sebuah rumah Sulimah Redzuan, 58, pada kira-kira pukul 4 pagi ini melalui pintu belakang dan melarikan barangan kemas, dua buah telefon bimbit serta wang tunai yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM2,000.

Ketika kejadian, Sulimah, seorang ibu tunggal bangun untuk menunaikan solat dan terkejut apabila mendapati dua lelaki memakai topeng penutup muka di dalam rumahnya.

Menurutnya, mangsa menjerit sambil memberi alasan mahu membuang air kecil tetapi sebenarnya mengejutkan dua orang anaknya dan seorang anak saudara berusia antara 18 hingga 24 tahun yang sedang tidur.

"Mereka kemudian mengarahkan saya masuk ke dalam bilik anak perempuan saya dan mengikat kami semua dengan wayar kipas di dalam sebuah bilik," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut kerana usaha mengesan penjenayah yang masih bebas masih diburu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: